JOHOR BAHRU: Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri akan menghantar sampel dari lokasi yang tercemar sisa buangan industri bagi mengenal pasti premis yang membuat pelupusan secara haram di tali air Kampung Baru Seri Aman, Kempas di sini.
Pengarah JAS Johor, Dr. Famey Yusof berkata, sampel itu juga bagi mengenal pasti jenis toksik yang dibuang secara terperinci di tali air kampung berkenaan.
Katanya, sampel tersebut akan dihantar ke Jabatan Kimia di Petaling Jaya bagi menentukan bahan toksik ini memerlukan penganalisaan yang terperinci.
“Hasil pemeriksaan awal, kita dapat mengesan dan tahu punca pencemaran toksik ini. Pegawai penguatkuasa JAS bersama polis Johor telah membuat serbuan ke premis-premis terbabit untuk siasatan lanjut.
“Kita percaya akan dapat mengesan premis mana yang membuat pelupusan secara haram bahan buangan ini. Ada beberapa kilang yang disyaki melakukan kegiatan itu dan pihak JAS dalam tindakan untuk mẹmbuat serbuan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas turun meninjau kawasan pencemaran di Kampung Baru Seri Aman, Kempas di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Dr. Famey berkata, pihaknya percaya Jabatan Kimia akan memberi kerjasama bagi kes kecemasan seperti itu dan membuat analisa dalam kadar segera.
Katanya, kandungan bahan toksik itu hanya akan diperoleh hasil analisa yang dilakukan oleh pihak berkenaan dalam menentukan kandungan tersebut secara terperinci.
Ditanya mengenai keadaan semasa di kawasan tercemar, Dr. Famey memberitahu bahawa hasil cerapan udara di kawasan tersebut menunjukkan bacaan pada 0.6 hingga 1 ppm.
“Hasil cerapan yang dibuat, kita dapati ada tiga jenis bahan kimia di udara yang utama, bagaimanapun bacaan ini sangat rendah yang menunjukkan bahan kimia terbabit sangat minimum.
“Tetapi kita tetap akan terus membuat pemantauan sekurang-kurangnya dalam tempoh 24 jam untuk memastikan bacaan bahan ini tidak menunjukkan peningkatan sekaligus memberi keyakinan kepada penduduk setempat bahawa tempat ini sudah selamat,” katanya.
Tambahnya, JAS dan polis akan melakukan pemeriksaan susulan ke atas beberapa premis industri berdekatan bagi mengenal pasti punca atau mengesan premis yang membuat pelupusan secara haram. – UTUSAN