KEMAMAN: Kerinduan untuk ke sekolah mendorong seorang remaja Orang Asli suku Semaq Beri di Kampung Sungai Pergam di sini untuk menerima vaksinasi Covid-19.
Mohd. Shah Sharif, 16, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Felda Neram turut mengajak rakan-rakannya mengambil vaksin.
“Hampir enam bulan tidak ke sekolah, saya rindu suasana belajar dalam kelas dan berjumpa guru-guru.
“Lagi pun kemudahan internet di kampung tidak memuaskan dan kerap terganggu. Jadi saya bimbang terus tercicir dalam pelajaran,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika menyertai Program Outreach Vaksinasi Covid-19 Orang Asli di Kampung Sungai Pergam semalam.
Seramai 290 Orang Asli di Kampung Sungai Pergam dan Sungai Putih menerima vaksin Covid-19 dengan 70 daripadanya adalah remaja berusia 12 hingga 17 tahun.
Bagi Mohamad Nizam Ismail, 14, pula, walaupun tidak bersekolah seperti remaja lain, namun dia tidak mahu terkecuali daripada PICK Remaja bagi memudahkan urusannya pergi ke bandar untuk membeli barangan.
“Sudah lama berkurung di kampung, saya teringin ke bandar tetapi takut jangkitan Covid-19 ketika berada di tempat awam.
“Selain itu, ada segelintir pasar raya hanya menerima pelanggan yang sudah divaksin dan kalau saya masih tiada perlindungan, susah untuk saya memasuki premis tersebut,” katanya. – UTUSAN