fbpx

Pesakit Long Covid jalani program rehabilitasi

Terdapat kes-kes yang hadir semula ke hospital setelah discaj dan dirawat berdasarkan simptom dan gejala Long Covid. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) menyediakan satu program rehabilitasi khusus bagi bekas pesakit Covid-19 yang berdepan kesan dan komplikasi jangka panjang wabak itu atau ‘Long Covid’.

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, program itu kelak diketuai pakar rehabilitasi di beberapa hospital di bawah KKM seluruh negara.

Beliau berkata, pihaknya mendapati ada lima gejala dialami bekas pesakit Covid-19 iaitu kelesuan, kesukaran bernafas ketika melakukan aktiviti tertentu, batuk, kesukaran tidur dan keresahan.

“Justeru, program itu akan dijalankan secara berbeza bagi setiap pesakit berdasarkan gejala dialami,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.

Katanya, buat masa ini, memang terdapat kes-kes yang hadir semula ke hospital setelah discaj dan dirawat berdasarkan simptom dan gejala Long Covid.

Bagaimanapun, Khairy berkata, tiada peningkatan yang ketara bagi kemasukan semula ke unit rawatan rapi (ICU) bari kalangan pesakit Long Covid dalam tempoh dua minggu kebelakangan ini.

Jelasnya, beliau turut mengesahkan tiada kes kematian membabitkan Long Covid dikesan kerana kematian direkodkan berdasarkan kepada punca kematian.

“Beberapa kajian sedang dijalankan bagi mengetahui dengan lebih lanjut isu ini dan keputusan kajian ini akan diumumkan apabila kajian selesai,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Khairy berkata, sejumlah 57,355 kes tertangguh bagi pembedahan dan prosedur perubatan bukan Covid-19 direkodkan di hospital-hospital KKM setakat 1 September lalu.

Menurutnya, kes tertangguh itu berlaku disebabkan tumpuan ICU dan pakar perubatan dan kakitangan sokongan dikhususkan untuk merawat pesakit Covid-19 ketika ini.

“Kira-kira 93.8 peratus atau 53,785 kes tertangguh adalah membabitkan pembedahan, meliputi pembedahan am, urologi, pembedahan paediatrik, pembedahan plastik dan rekonstruktif, pembedahan kardiotorasik, ginekologi, orthopedik dan oftalmologi.

“Daripada jumlah itu, katanya, 97.4 peratus atau 52,373 adalah kes pembedahan tertangguh bukan kanser, dan 2.6 peratus atau 1,412 membabitkan kes kanser,” katanya. – UTUSAN ONLINE

POPULAR

KOSMO! TERKINI