JOHOR BAHRU: Rakyat Malaysia yang telah menerima vaksin Covid-19 di luar negara perlu hadir ke Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) terdekat bagi mendapatkan sijil pengesahan vaksinasi dalam aplikasi MySejahtera.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, tindakan itu bertujuan mengesan penerima vaksin dari luar negara mengenai status mereka serta jenis vaksin yang telah diterima.
Katanya, sijil vaksinasi yang dikemas kini di aplikasi MySejahtera itu penting bagi memudahkan mereka menjalankan aktiviti harian.
“Dalam perkembangan terkini, bagi yang mendapatkan suntikan vaksin di luar negara, mereka perlu hadir ke PKD untuk memaklumkan status vaksinasi lengkap untuk menerima sijil vaksinasi MySejahtera.
“PKD yang menerima sijil vaksinasi yang dikeluarkan di luar negara itu untuk disahkan sebelum Jabatan Kesihatan Negeri akan menghantar permohonan itu ke Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) Putrajaya untuk tindakan lanjut.
“CPRC akan memaklumkan kepada MySejahtera untuk mengemas kini dan mengeluarkan sijil vaksinasi dalam aplikasi MySejahtera di telefon pintar pemohon,” katanya ketika melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mount Austin, di sini hari ini.
Dr. Adham berkata, langkah itu penting untuk mengesahkan sijil vaksinasi yang diterima di luar itu disahkan tulen dan jenis vaksin yang diterima itu diluluskan di negara ini.
Sementara itu, beliau memberitahu, kerajaan akan menggunakan kaedah dan prosedur operasi standard (SOP) tertentu kepada pelancong yang akan masuk ke negara ini melalui pintu masuk antarabangsa di Langkawi pada 16 September ini.
Katanya, tindakan itu diambil setelah kerajaan memberi kebenaran sektor pelancongan kembali dibuka menerima kunjungan pengunjung asing di Pulau Langkawi.
“Petugas kesihatan juga akan ditempatkan di laluan pintu masuk antarabangsa di Langkawi bagi menyemak sijil vaksinasi mereka sama ada sah atau sebaliknya.
“Mereka yang mendapat vaksin di luar negara yang ingin berada di negara ini atas tujuan pembukaan sektor ekonomi juga akan melalui proses yang sama,” ujarnya. – UTUSAN