Pembantu perubatan tak mengaku pandu melulu, sebabkan kematian dua penunggang - Utusan Malaysia

Pembantu perubatan tak mengaku pandu melulu, sebabkan kematian dua penunggang

ZURAILIE Muhamad mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian dua penunggang motosikal di Mahkamah Majistret Tanah Merah, Kelantan, hari ini. - UTUSAN/BAHRUDDIN HATTA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANAH MERAH: Seorang pembantu perubatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga meragut nyawa dua penunggang motosikal di Jeli, dekat sini Jumaat lalu.

Tertuduh, Zurailie Muhamad, 36, yang berkhidmat di sebuah klinik kesihatan awam membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Nasruddin Mohamed.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memandu kereta secara berbahaya hingga menyebabkan kematian dua penunggang motosikal dan seorang lagi cedera parah di Kilometer 87, Jalan Kota Bharu-Machang-Gerik pada pukul 11.11 pagi, 10 September 2021.

Pertuduhan ke atasnya dibuat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 338/87) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 10 tahun serta denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM50,000, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Polis, Inspektor Mazuin Che Mahmood manakala tertuduh tidak diwakili peguam. Mazuin mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000 terhadap tertuduh.

Mahkamah kemudian membenarkan ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin di samping menetapkan tarikh 1 November ini untuk sebutan semula kes. Tertuduh membayar ikat jamin ditetapkan mahkamah itu.

Jumaat lalu, Utusan Online melaporkan dua pemuda maut, manakala seorang lagi cedera parah selepas gagal mengelak sebuah kenderaan jenis Honda Civic di hadapan mereka yang membuat pusingan U secara tiba-tiba di Jalan Kota Bharu-Machang-Gerik, dekat Jeli.

Ketua Polis Daerah Jeli, Deputi Superintendan Ahmad Arifin berkata, ujian saringan air kencing turut mendapati tertuduh didapati positif dadah jenis methamphetamine sewaktu memandu kereta terbabit. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya