Malaysia rekod  RM7.7 bilion aliran masuk modal pelabur asing - Utusan Malaysia

Malaysia rekod  RM7.7 bilion aliran masuk modal pelabur asing

Malaysia terus merekodkan aliran modal pelabur asing yang positif didorong kemajuan dicapai menerusi Pelan Pemulihan Negara (PPN). - FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia terus merekodkan aliran modal pelabur asing yang positif didorong kemajuan dicapai menerusi Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, bulan lalu Malaysia merekodkan RM7.7 bilion dari segi aliran masuk modal pelabur asing iaitu pencapaian tertinggi sejak Jun lalu sekali gus mengimbangi aliran keluar bagi dua bulan sebelum itu. 

Beliau berkata, Ogos juga adalah bulan pertama mencatat pembelian bersih pelabur asing di pasaran ekuiti negara.

“Perkembangan positif itu hasil daripada situasi lebih baik sistem kesihatan awam dan pembukaan semula ekonomi secara beransur-ansur melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK). 

“Kami menjangkakan pemulihan lebih kukuh bagi suku keempat 2021,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tengku Zafrul berkata, biarpun tinjauan ekonomi Malaysia terus berhadapan dengan cabaran, kemajuan positif vaksinasi dan pengawalan kes Covid-19 dijangka mendorong kepada pertumbuhan itu.

Katanya, prospek pertumbuhan yang lebih baik itu mengembalikan keyakinan pelabur terhadap pasaran modal Malaysia.

Dari segi pasaran bon ringgit pula, Tengku Zafrul berkata, aliran masuk pelabur asing pada bulan lalu tertumpu kepada terbitan Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) bernilai RM3.1 bilion.

Selain itu, katanya, prospek bagi suku ketiga 2021 dijangka terus mencabar ekoran Fasa 1 yang berpanjangan bagi beberapa negeri seperti Selangor yang merupakan penyumbang besar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara. 

“Bagi suku keempat pula, prospek dijangka lebih cerah kerana kadar vaksinasi terus dipertingkatkan membolehkan pembukaan semula lebih banyak sektor ekonomi,” katanya.

Katanya, pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan Bajet 2022 kelak memberikan gambaran lebih jelas mengenai hala tuju dasar kerajaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN