LKIM bantu atasi lambakan udang harimau di Melaka - Utusan Malaysia

LKIM bantu atasi lambakan udang harimau di Melaka

SEBANYAK 15,000 kg udang harimau 'terkandas' di kolam ternakan di Sebatu, Jasin selepas kedai makan khususnya tidak lagi dapat beroperasi seperti biasa selepas pelaksanaan PKP sejak tahun lalu. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menawarkan langkah jangka pendek bagi membantu penternak memasarkan lambakan udang harimau di Melaka antaranya mencari ruang pasaran tempatan khususnya di Selangor dan Terengganu.

 “Inisiatif itu sudah dilakukan malah telah mendapat maklum balas  memberangsangkan dalam kalangan pembeli,” kata LKIM menerusi kenyataan di sini hari ini.

 Ia merujuk pendedahan Utusan Malaysia pada 30 Ogos lalu yang melaporkan Melaka menanggung lambakan udang harimau seberat 15,000 kilogram dan bernilai RM450,000 dengan kesemua spesies bersaiz L.

Undang tersebut sepatutnya dipasarkan ke Singapura dan Johor selain medan ikan bakar di negeri tersebut tetapi terkandas di banyak kolam ternakan sekitar Sebatu, Jasin.

 Susulan lambakan dan trend permintaan kurang sejak tahun lepas, harga udang harimau turun kepada RM26 sekilogram berbanding antara RM30 sehingga RM35 sekilogram sebelum ini.

 Mengulas lanjut, LKIM berkata, pihaknya turut berunding dengan A&O Food Industries dan kilang pemprosesan udang di Johor itu  bersetuju membeli dua tan setiap kali pengambilan.

 “Udang harimau ini akan disejukbekukan dahulu untuk tujuan eksport ke luar negara manakala yang jenis segar pula bakal dihantar terus Singapura,” jelas agensi berkenaan lagi.

 LKIM turut mengadakan pemasaran secara terus menerusi platform sedia ada termasuk kerjasama dengan Persatuan Nelayan Kebangsaan bagi penjualan atas talian, kaedah pemasaran secara bayar tunai selain pendekatan jualan langsung kepada peniaga runcit individu.

 Agensi itu menjangkakan pasaran  kembali pulih sedikit masa lagi susulan pembukaan semula sektor ekonomi secara berperingkat yang menyumbang kepada permintaan tinggi.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN