SEREMBAN: Sebanyak 4,908 kompaun dikeluarkan di Negeri Sembilan sejak Mac tahun lepas sehingga Sabtu lalu terhadap individu dan premis yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S. Veerapan berkata, daripada jumlah itu sebanyak 2,677 kompaun dibayar dengan nilai kutipan RM2,293,751.
Menurut beliau, dalam tempoh sama sebanyak 592 kes orang kena kompaun yang gagal menjelaskan tawaran kompaun, telah didaftarkan di mahkamah.
“Sejumlah 68 kes telah disabitkan dengan kesalahan di mahkamah dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 63 kes telah dijatuhi hukuman denda yang bernilai keseluruhan berjumlah RM 40,250. Kes-kes lain masih di peringkat sebutan di mahkamah.
“Dalam masa sama, sejumlah 268 premis telah dikeluarkan arahan penutupan sementara bagi mengelakkan penularan jangkitan Covid-19,” katanya selepas melakukan tinjauan Op Pematuhan SOP di premis makanan di Seremban 2, Seremban hari ini.
Sementara itu, Veerapan berkata, Negeri Sembilan yang telah memasuki Fasa ke 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan keadaan tersebut telah memberi peluang kepada orang ramai untuk menjalani kehidupan dan melakukan aktiviti harian tanpa sekatan yang ketat berbanding pada Fasa 1 dan Fasa 2 PPN.
“Bagaimanapun pematuhan terhadap Akta 342, peraturan-peraturan dibawahnya dan SOP yang sedang berkuat kuasa adalah penting agar penularan penyakit Covid-19 dapat dikawalasaan secara berterusan untuk memastikan semua pihak mematuhi SOP yang ditetapkan,” katanya. – UTUSAN