PETALING JAYA: Orang ramai dinasihat tidak menimbulkan sebarang dakwaan atau persepsi negatif terhadap sistem kehakiman negara terutama apabila melibatkan kes-kes berprofil tinggi.
Pengamal undang-undang, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, dari segi perundangan, pengambilan masa oleh mana-mana mahkamah sama ada Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Persekutuan dalam mengeluarkan keputusan serta alasan kehakiman bergantung kepada pelbagai faktor.
Beliau berkata, faktor itu merangkumi kerumitan kes jika ada, penelitian jumlah nota keterangan, defisit dan hujahan ditampilkan semasa perbicaraan serta penyediaan alasan keputusan kehakiman yang perlu mengaitkan setiap satu dibangkitkan.
“Dalam keadaan penangguhan Mahkamah Rayuan berkaitan (penyelewengan dana) SRC International Sdn. Bhd. pada 18 Mei lepas, maka penangguhan empat bulan bukan sesuatu yang tidak munasabah walaupun kebiasaan (mahkamah) memberi keputusan dalam tempoh dua bulan.
“Ini munasabah memandangkan satu kes yang begitu panjang dengan jumlah jilid, hujahan bertulis, hujahan lisan (yang banyak), pastinya mahkamah memerlukan masa.
“Namun, saya bukan syor kes ini boleh ditangguh. Tetapi jangan kerana kes ini baru empat bulan sudah mahu timbulkan persepsi seolah-olah ada sangkut paut dengan peralihan kuasa baru-baru ini, itu tak boleh.
“Jika ada pun apa-apa persepsi negatif begitu, tunggu dan baca keputusan alasan kehakiman. Kalau tak faham tanya mereka yang dalam bidang guaman, tetapi apabila tak baca alasan kehakiman, terus buat persepsi kerana tempoh masa, tak bolehlah,” katanya ketika dihubungi semalam.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kes rayuan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd yang mengambil masa lama sehingga menimbulkan persepsi negatif beberapa pihak.

Pada 18 Mei lepas, Mahkamah Rayuan menangguhkan keputusannya selepas selesai mendengar rayuan Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung sabitan dan hukuman terhadapnya bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd, yang berlangsung selama 15 hari.
Menurut Mohamed Haniff, semua pihak mempunyai hak untuk membaca alasan mahkamah itu sama ada kes SRC atau mahkamah lain, tetapi kebanyakannya malas dan tidak membaca.
“Apabila hakim sudah bagi alsan kehakiman, baca tengok adakah ia menunjukkan kemunasabahan atau sebaliknya, tambahan pula alasan hakim bukan sahaja melibatkan fakta, malah undang-undang,” katanya.
Mengulas lanjut, Haniff Katri berkata, mereka yang menimbulkan persepsi negatif itu tidak begitu memahami berhubung tanggungjawab yang terletak kepada hakim dan hakikatnya bahawa politik tidak boleh mencampuri urusan mahkamah serta kehakiman.
“Mereka (hanya) fikir kalau seseorang itu Perdana Menteri atau kerajaan semestinya ada campur tangan, inilah persepsi yang salah.
“Melainkan mana-mana pihak mempunyai bukti atau asas, itu cerita lain. Tetapi semata-mata kerana kes belum dibuat keputusan, tidak boleh dikaitkan dengan peralihan kuasa,” katanya.
Tambah beliau, selagi masyarakat tidak berubah minda mereka dan tidak mahu memikirkan dengan lebih waras, maka negara tidak boleh mencapai kemajuan.
“Pada masa sama, sememangnya pihak eksekutif pun tidak boleh menganggap diri mereka (boleh) mencampuri urusan kehakiman semata-mata dengan kuasa. Tidak semestinya.
“Hakikatnya mahkamah tidak dicampuri oleh pihak berkuasa, walaupun ada masa semua bidang kerja ada masalah, tetapi tak bermakna setiap kali melibatkan kes ahli politik, mesti ada sangkut paut dengan keputusan mahkamah,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengesyorkan sistem kehakiman untuk tidak membebani mana-mana hakim yang terlibat dengan kes jenyah mahupun berprofil tinggi dengan pendengaran kes lain supaya keputusan dapat dikeluarkan sesegera mungkin bagi menindakkan mana-mana persepsi negatif.
“Mungkin Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan perlu keluarkan prosedur baharu dalam kes berprofil tinggi yang memberi masa rehat supaya mereka (hakim) dapat mengeluarkan, meneliti dan siapkan alasan kehakiman dengan segera.
“Saranan itu saya berani bagi kerana tak boleh juga paksa hakim buat keputusan, tetapi (dalam masa sama) suruh dia dengar kes lain setiap hari,” katanya. – UTUSAN ONLINE











