PETALING JAYA: Kerajaan dicadanG memperkenal program khas kepada bank untuk membiayai pelaburan saham rakyat Malaysia bagi membina kekayaan jangka panjang.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, dengan pasaran saham Malaysia yang kini berada di bawah nilai berbanding negara-negara lain, ia peluang yang perlu dilaksanakan kerajaan.
Selain itu, kesempatan perlu diambil selepas ekonomi negara mula dibuka semula manakala harga komoditi keluaran Malaysia serta eksport barangan pembuatan negara masih kukuh.
“Ketika ini harga saham berada pada paras yang rendah, yang bermaksud ada banyak syarikat membayar dividen yang lebih tinggi berbanding caj perkhidmatan sebenar bank. Kadar cuma 1.9 % setahun bagi Simpanan Tetap (FD) 3 tahun ketika ini manakala banyak saham-saham “bluechip” seperti Tenaga (4.1%), Maybank (5.6%) dan Top Glove (5.7%) diramal membayar dividen yang lebih tinggi.
“Oleh itu, saya mencadangkan kerajaan boleh memperkenal program kepada bank-bank Malaysia agar membiayai 70 peratus daripada pembelian saham dengan kadar caj perkhidmatan sebenar sebanyak 3 peratus bagi setiap rakyat yang ingin membuat pelaburan dalam senarai saham yang telah disyorkan penganalisis kewangan dan dibenarkan,” katanya menerusi kenyataan di Facebooknya hari ini.
Dalam pada itu, Najib berkata, kerajaan perlu melaksanakan langkah yang mampu menambah keyakinan pelabur untuk menjadikan pasaran saham Malaysia lebih dinamik, lebih menarik dan lebih merangsang perhatian pelabur.
“Antara langkah-langkah yang boleh diambil termasuk menggantung sekali lagi dengan izin ‘regulated short selling’ serta ‘script borrowing and lending’ sekurang-kurangnya selama enam bulan seperti dilaksanakan tahun lepas untuk menstabilkan pasaran saham dan melindungi pelabur runcit.
“Kita juga perlu mempercepat proses mendapatkan kelulusan Suruhanjaya Sekuriti dalam semua urusan syarikat tersenarai.
“Saya mendapat maklumat bahawa tempoh kelulusan oleh Suruhanjaya Sekuriti pada masa ini memakan masa terlalu lama dan ini menjadi penghalang bagi syarikat-syarikat tersenarai tempatan untuk bergerak dengan lebih laju bagi aktiviti-aktiviti perkembangan perniagaan mereka. Jadi, proses ini perlulah disegerakan dan dipermudahkan,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE