Kepulangan sempurna Cristiano Ronaldo - Utusan Malaysia

Kepulangan sempurna Cristiano Ronaldo

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANCHESTER: Dua belas tahun selepas meninggalkan Old Trafford dan pada usia yang sudah menginjak 36 tahun, Cristiano Ronaldo meledak gol ke-119 serta 120 buat Manchester United pada kemunculan keduanya sebentar tadi.

Diturunkan dalam kesebelasan utama hanya tiga hari selepas menjalani latihan bersama rakan-rakan baharunya, bintang Portugal itu meledak dua gol untuk membantu United menumpaskan Newcastle 4-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris.

Gol pertamanya hadir pada waktu kecederaan babak pertama berpunca daripada percubaan Mason Greenwood yang gagal ditepis kemas penjaga gol lawan, Freddie Woodman.

Ronaldo yang berada di depan pintu gol hanya perlu menolak mudah bola yang melantun di depannya.

Bek kanan Newcastle, Javier Manquillo mengejutkan tuan rumah apabila meledak gol penyamaan menerusi rembatan cantik di minit ke-56.

Skuad The Magpies turut mencemaskan United dengan beberapa percubaan bahaya yang memaksa penjaga gol, David de Gea bekerja keras menyelamatkan gawangnya.

Jaringan kedua Ronaldo pada minit ke-62 bagaimanapun menaikkan semangat United dan memadam api kebangkitan yang cuba dilakukan pasukan pelawat.

Rakan senegara Ronaldo, Bruno Fernandes meningkatkan keyakinan Red Devils apabila menambah gol ketiga pada minit ke-80.

Dua minit memasuki waktu kecederaan, pemain gantian, Jesse Lingard memastikan kemenangan 4-1 pasukannya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN