Keadilan harus ditegakkan - PM - Utusan Malaysia

Keadilan harus ditegakkan – PM

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, tiada siapa terkecuali daripada garis undang-undang dan keadilan harus ditegakkan berikutan kes  pegawai keselamatan, S. Thavasagayam, 64, yang meninggal dunia selepas diserang ketika bertugas tahun lalu.

“Saya sedih dan terkejut dengan musibah yang melanda keluarga Thava Sagayam ini.

“Keadilan harus ditegakkan, tiada sesiapa terkecuali daripada garis undang-undang,” katanya melalui hantaran balas Twitter kepada ciapan Ahli Parlimen Ipoh Barat, M. Kulasegaran hari ini.

Perdana Menteri memuat naik hantaran tersebut bagi mengulas hantaran Kulasegaran yang mengucapkan terima kasih kepadanya kerana mengambil masa untuk bercakap dengan keluarga mendiang. 

“Perdana Menteri kita menelefon E. Philomena (isteri mendiang) hari ini, tetapi tidak dapat. Dia bercakap dengan sepupu isteri mendiang. He express the feelings of many Malaysians,” kata Kulasegaran. 

Terdahulu, dalam kejadian pada 29 Disember lalu, Thavasagayam yang sedang bertugas di kolam renang kondominium berkenaan cedera di bahagian belakang kepala setelah diserang seorang lelaki.

Kejadian itu berpunca daripada tindakan suspek yang tidak berpuas hati terhadap mangsa kerana cuba menghalang anaknya daripada menggunakan kolam renang yang ketika itu tidak dibuka kepada orang ramai.

Ketua Polis Perak dalam kenyataannya kelmarin berkata, kes tersebut diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan pada hari mangsa disahkan meninggal dunia, Jumaat lalu.

Katanya, kes tersebut juga telah dirujuk semula kepada pihak pendakwaan dengan mencadangkan pertuduhan yang lebih tinggi dikenakan kepada suspek.

“Kes ini telah diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN