PETALING JAYA: Kerajaan perlu mengawal peningkatan perbelanjaan yang berlaku setiap tahun sebelum memperkenal atau mengembalikan sistem cukai yang menyasarkan rakyat terbanyak, seperti cukai barang dan perkhidmatan (GST).
Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, dalam menilai keperluan mengembalikan GST, lebih penting untuk kerajaan melihat punca sebenar peningkatan perbelanjaan saban tahun.
Kata beliau, jika punca sebenar tidak diatasi, negara terpaksa mengenakan cukai baharu secara berterusan atau menambah kadar cukai sedia ada, seterusnya menambah sengsara rakyat.
“Masalah yang dihadapi negara ialah keperluan untuk menambah hasil bagi menampung perbelanjaan yang semakin meningkat setiap tahun.
“Beberapa punca perbelanjaan meningkat adalah kerana kecenderungan kerajaan mengambil hutang baharu setiap tahun sehinggakan sekarang ini 15 peratus daripada hasil tahunan terpaksa digunakan untuk membayar komitmen hutang tahunan kerajaan persekutuan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Selain itu, Ahmed Razman turut membangkitkan isu ketirisan dalam perbelanjaan tahunan kerajaan sama ada dalam perbelanjaan pembangunan atau pengurusan disebabkan sistem perolehan yang didakwa dikuasai kartel atau melibatkan rasuah.
Kata beliau, perbelanjaan negara juga meningkat disebabkan jumlah kakitangan kerajaan yang tinggi, termasuk jumlah menteri dan kementerian yang banyak.
“Banyak perbelanjaan habis untuk membayar gaji mereka dan kos pengurusan kementerian-kementerian tersebut.
“Oleh itu, strategi yang saya rasa kerajaan perlu ambil ialah melaksanakan dasar dan polisi yang membantu pekerja mendapat gaji yang lebih tinggi dan perniagaan mampu menjana keuntungan yang tinggi supaya dapat meningkatkan hasil cukai pendapatan serta perniagaan.
“Selain itu, kerajaan juga boleh menggubal Akta Tanggungjawab Fiskal supaya dapat menambah baik tadbir urus, ketelusan dan akauntabiliti,” katanya.
Ahmed Razman berpendapat, akta tersebut dapat mengurangkan ketirisan, rasuah dan salah laku dalam pengurusan perbelanjaan kerajaan.
Beliau malah menekankan, ekonomi baharu terutamanya ekonomi digital perlu disokong supaya hasil negara dapat ditingkatkan.
“Kerajaan juga boleh mengurangkan pengambilan hutang dengan mewujudkan mekanisme pembentukan Bank Daulat yang boleh menyediakan wang daulat sekali gus mengurangkan keberhutangan negara,” katanya. – UTUSAN








