TOKYO: Japan Airlines Co. Ltd. berusaha meraih dana sebanyak 300 bilion yen (RM11.30 bilion) bagi mengatasi cabaran kewangan ketika trafik udara terus perlahan, lapor Reuters yang memetik dua sumber terdekat dengan perkara tersebut.
Menurut Reuters, dana tersebut akan diperoleh melalui pembiayaan termasuk secara pinjaman subordinat.
Japan Airlines yang telah berjaya meraih AS$1.8 bilion (RM7.47 bilion) melalui penjualan saham November lalu walau bagaimanapun menolak untuk memberikan sebarang komen.
Bulan lalu, syarikat penerbangan itu melaporkan kerugian operasi 82.65 bilion yen (RM3.11 bilion) untuk suku pertama, prestasi yang lebih baik berbanding tahun lalu.
Prestasi lebih baik itu dicapai hasil pengurangan kos berkaitan pandemik dan peningkatan permintaan penerbangan dari asas yang sangat rendah.
Japan Airlines sebelum ini beroperasi dengan rizab tunai bagi mengekalkan pesawat dan pekerja yang diperlukan apabila permintaan penerbangan kembali meningkat.
Bulan lalu, syarikat itu berkata, kadar kerugian tunai mereka dijangka berkurang kira-kira lima bilion yen (RM190 juta) sebulan pada suku kedua berakhir 30 September ini berbanding 10 hingga 15 bilion yen (RM380 juta hingga RM560 juta) sebulan pada suku pertama.
Pesaingnya, ANA Holdings Inc. meraih AS$3.8 bilion (RM15.78 bilion) dalam bentuk pinjaman subordinat dan AS$3.2 bilion (RM13.29 bilion) ekuiti bagi menyokong operasinya semasa pandemik dan membiayai pembelian pesawat baharu tahun lalu.
Terdahulu, Nikkei Asia turut melaporkan perkara sama dengan memetik sumber. Menurut portal berita itu, Japan Airlines turut melihat penerbitan bon sebagai salah satu pilihannya.
Selain untuk perbelanjaan operasi, dana tersebut dilaporkan akan digunakan untuk pelaburan dalam inisiatif baharu bagi mengurangkan pelepasan karbon.
Japan Airlines merupakan antara syarikat penerbangan terbaik dari segi nisbah modal kepada aset sebanyak 42.4 peratus namun terpaksa menggunakan rizab tunai untuk meneruskan operasi dalam tempoh beberapa bulan ini.
Kedudukan kecairan syarikat itu pada 357 bilion yen (RM13.46 bilion) pada akhir Jun, menyusut 50 bilion yen (RM1.88 bilion) berbanding tiga bulan sebelumnya.
Walaupun berhadapan cabaran pandemik, syarikat itu terus bergerak ke hadapan melalui pelan perniagaan tiga tahunnya melibatkan pelaburan 450 bilion yen (RM16.96 bilion) sehingga Mac 2024.
Perbelanjaan tersebut termasuk untuk pembelian pesawat A350-900 Airbus yang lebih baharu dan mesra alam serta untuk memperkukuh perniagaan pesawat pengangkut kos rendahnya. – AGENSI










