Feri ke Langkawi lewat, ramai tak buat ujian Covid-19 - Utusan Malaysia

Feri ke Langkawi lewat, ramai tak buat ujian Covid-19

WARI KIEW (kiri) bersama Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) negeri, Mohd Izaimi Md Daud (dua dari kiri) memeriksa dokumen penumpang yang ingin ke Pulau Langkawi dari Terminal Feri Kuala Perlis, Perlis hari ini.- UTUSAN/NAZLINA NADZARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Feri pertama yang membawa penumpang dari terminal feri Kuala Perlis ke Pulau Langkawi lewat kira-kira 30 minit untuk berlepas berikutan sebahagian besar penumpang tidak melakukan ujian pengesanan Covid-19 sebelum memulakan perjalanan.

Feri pertama yang sepatutnya berlepas pada pukul 9.30 pagi terpaksa ditangguhkan sehingga pukul 10 pagi kerana menunggu penumpang yang masih menjalankan ujian pengesanan di terminal tersebut.

Tinjauan di terminal tersebut mendapati rata-rata penumpang tidak membuat ujian pengesahan lebih awal dan ada yang menggunakan kit ujian yang disediakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) secara percuma untuk hari ini.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintenden Wari Kiew berkata, pihak Kementerian Kesihatan terpaksa mengambil masa  panjang untuk melakukan ujian kepada semua orang.

Menurut beliau, mengikut prosedur operasi standard (SOP), terdapat dua cara untuk menjalani ujian iaitu sama ada membeli sendiri kit ujian atau membeli di terminal dan seterusnya menyerahkan hasil ujian untuk memastikan mereka negatif.

“Saya difahamkan untuk hari ini, KKM akan tolong buat ujian tersebut kepada penumpang, namun selepas ini mereka yang tidak mempunyai keputusan ujian pengesanan tersebut tidak akan dibenarkan ke Pulau Langkawi.

“Ujian pengesanan lebih awal tidak akan menyebabkan kesesakan yang teruk dan diharapkan tidak akan berlaku selepas ini,” katanya selepas membuat pemantauan di terminal feri tersebut di sini hari ini.

Sementara itu, Wari memberitahu, penumpang yang belum selesai menjalani ujian pengesanan Covid-19 perlu menaiki feri yang seterusnnya bagi mengelak pertembungan dengan feri seterusnya iaitu pada pukul 10.30 pagi dan 11.30 pagi.

“Hari ini. ada tiga feri dengan kapasiti dua feri pertama adalah masing-masing 200 dan feri terakhir 300. Siapa yang tak sempat menunggu keputusan ujian akan naik feri seterusnya. Ini kerana feri tersebut harus keluar dari jeti sebelum feri kedua tiba.

“Selain itu, saya melihat SOP di sini agak terjaga dan tidak ada yang akan lolos daripada ujian pengesanan kerana perlu melalui beberapa tapisan sebelum dapat naik ke dalam feri,” ujarnya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN