Empat disyaki buang sisa industri dalam tali air ditahan polis - Utusan Malaysia

Empat disyaki buang sisa industri dalam tali air ditahan polis

AYOB Khan Mydin Pitchay (empat kiri) bersama Yahaya Madis melihat sungai yang tercemar dengan bahan berjadual dipercayai sisa industri di Kampung Baru Sri Aman, Kempas, Johor, hari ini. -UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Empat suspek termasuk seorang pemilik premis ditahan disyaki membuang sisa industri berjadual di tali air di Kampung Baru Sri Aman, Kempas, di sini hari ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, empat lelaki warga tempatan itu ditahan kira-kira pukul 11.30 pagi ini.

Katanya, kesemua mereka ditahan di sebuah kilang yang terletak kira-kira tiga kilometer dari Kampung Baru Sri Aman, di sini.

“Tangkapan ke atas suspek dibuat susulan pemeriksaan yang dijalankan bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor di premis berkenaan.

“JAS Johor telah menahan keempat-empat individu itu termasuk seorang pemilik premis  selepas mereka disyaki terlibat dalam insiden pembuangan sisa toksik.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. Polis Johor akan memberikan kerjasama kepada pihak JAS dalam menjalankan siasatan susulan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini. 

Yang turut hadir Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Datuk Yahaya Madis dan Pengarah JAS Johor, Dr. Mohd. Famey Yusof.

Sementara itu, Ayob Khan tidak menolak kemungkinan akan ada beberapa lagi lokasi yang perlu diperiksa dan mungkin terdapat tangkapan-tangkap baharu perlu dibuat bagi melengkapkan siasatan.

Dalam pada itu, Ayob Khan berkata, empat penduduk wanita Kampung Baru Sri Aman, Seelong,yang sesak nafas masih dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI).

“Bagaimanapun, kesemua mereka yang berusia antara 22 hingga 49 tahun itu berada dalam keadaan stabil,” katanya.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya