Ekonomi mesti tumbuh berterusan - Utusan Malaysia

Ekonomi mesti tumbuh berterusan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Unjuran pertumbuhan ekonomi negara pada kadar lebih lima peratus pada tahun 2022 tidak membawa sebarang makna jika tidak berlanjutan dalam tempoh beberapa tahun.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pakar ekonomi merangkap Felo Akademi Sains Malaysia, Datuk Dr. Madeline Berma berkata, ia perlu dikekalkan bagi mengelak ekonomi negara kembali menguncup pada kadar 4.0 peratus ke bawah.

Jelasnya, tidak mustahil unjuran pertumbuhan ekonomi itu merekodkan kadar sedemikian namun tetap bergantung kepada pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) pada Isnin depan dan Belanjawan 2022 dijadual Oktober ini.

Bagi mencapai matlamat itu, katanya, struktur ekonomi perlu berubah ke arah ekonomi digital sekali gus mencapai Revolusi Industri 4.0 dan tidak terlalu bergantung kepada ekonomi berasaskan teknologi taraf rendah.

“Pertumbuhan ekonomi mesti berlanjutan. Jika hanya meningkat dalam tempoh setahun sahaja ia tidak bermakna kerana ada negara luar yang sudah pun mencapai pertumbuhan yang disasarkan tetapi bersifat sementara dan kembali merundum.

“Langkah ini perlu supaya kita tidak bergantung kepada tenaga buruh asing memandangkan ekonomi negara masih lagi menggunakan pendekatan teknologi rendah. Begitu juga dalam bidang pertanian yang masih menggunakan kaedah primitif,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Akhbar ini semalam melaporkan, pakar-pakar ekonomi menjangkakan ekonomi negara pulih pada tahun hadapan dengan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada kadar 5.3 peratus berbanding sekitar 3.0 hingga 4.0 peratus. Ramalan itu berdasarkan pemulihan ekonomi global dan domestik, dasar fiskal dan monetari yang sentiasa menyokong pemulihan ekonomi negara.

Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid pula berkata, untuk mengekalkan pertumbuhan tersebut, kerajaan perlu terus membuka sektor ekonomi secara meluas.

Antara lain, katanya, negeri-negeri yang masih ‘tersangkut’ di dalam fasa 1 dan 2 dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) perlu melangkah ke fasa 3 dan 4 selain program vaksinasi terus berjalan.

“Saya juga bersetuju mengenai ramalan pertumbuhan ekonomi ini bahkan, saya merasakan tahun depan kita boleh memperoleh kadar yang lebih tinggi daripada yang dijangka sebab dalam fasa pemulihan ini sektor pelancongan sudah kembali beroperasi secara berperingkat.

“Cuma, bagi mengelakkan ekonomi terjejas, seeloknya sektor-sektor sosial yang berisiko tinggi seperti perhimpunan besar-besaran atau kenduri tidak diadakan buat masa ini,” katanya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×