Dulu tersorok, kini Pantai Nusuk jadi tumpuan - Utusan Malaysia

Dulu tersorok, kini Pantai Nusuk jadi tumpuan

PANTAI Nusuk menjadi tumpuan kerana pasirnya yang memutih serta bentuk muka bumi yang landai sesuai untuk aktiviti berkelah dan mandi-manda.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Siapa sangka, Pantai Nusuk yang dulu tidak diendah kerana terletak di ceruk Kampung Sabak, Pengkalan Chepa, dekat sini kini muncul sebagai pusat peranginan dengan kehadiran ratusan pengunjung setiap hari.

Tanah persendirian dianggarkan seluas 20 hektar itu sebelum ini dikenali sebagai Tanjung Kuala Sabak, namun dijenamakan semula baru-baru ini menjadi ‘Pantai Nusuk’ yang bermaksud pantai tersorok atau tersembunyi.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pengurus pantai tersebut, Samsuddin Daud, 45, berkata, bermodalkan RM50,000, keluarganya mengambil masa kira-kira dua tahun untuk menukar wajah Pantai Nusuk yang sebelum ini terbiar dipenuhi semak-samun serta pokok kelapa.

Kata Samsuddin, apabila industri pelancongan dibenarkan beroperasi semula, mereka cuba memperkenal Pantai Nusuk sebagai destinasi perkelahan baharu dan usaha itu dipermudahkan selepas ia tular dalam media sosial, baru-baru ini.

“Sejarah Pantai Nusuk ini bermula selepas saya membuka kedai makan di situ lebih dua tahun lalu. Saya letak nama kedai makan itu ‘Kedai Nusuk’ kerana lokasinya yang tersorok dalam belukar sehingga pengunjung tidak sangka ada kedai di situ.

“Saya melihat kawasan ini berpotensi menarik pengunjung kerana pasirnya yang bersih memutih serta bentuk muka bumi seperti kawasan pantai yang landai sesuai untuk aktiviti mandi-manda.

“Selepas mendapat kebenaran para pemilik tanah, saya bersama keluarga berusaha membersihkan semak-samun dan mencantikkan kawasan ini termasuk menyediakan kemudahan untuk pengunjung,” katanya ketika ditemui semalam.

Samsuddin memberitahu, selepas Pantai Nusuk tular di media sosial, ada pihak termasuk agensi kerajaan menyatakan hasrat mengambil alih pengurusan di situ namun ditolaknya kerana dia mahu memajukan sendiri pantai tersebut.

Katanya, dia sudah membuat perjanjian dengan para pemilik tanah di situ untuk membayar sewa dengan kadar tertentu kepada mereka sekiranya kawasan tersebut berjaya dimajukan sebagai destinasi pelancongan.

“Jika kerajaan mahu bantu saya memajukan Pantai Nusuk, saya alu-alukan. Malah saya sudah memohon bantuan supaya tandas awam dibina untuk kemudahan pengunjung namun belum ada jawapan,” katanya.

Katanya, jumlah pengunjung Pantai Nusuk kini dianggarkan kira-kira 300 hingga 500 orang sehari dan bilangan itu kian bertambah terutama pada hujung minggu.

Selain menukar wajah Pantai Nusuk menjadi lokasi perkelahan yang cantik dan selamat, antara kemudahan lain disediakan Samsuddin setakat ini ialah tempat letak kenderaan yang dibuka setiap hari, bermula pukul 1 tengah hari hingga 7 petang dengan bayaran RM2. – UTUSAN ONLINE

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya