CovidNow papar data lebih telus - Utusan Malaysia

CovidNow papar data lebih telus

KHAIRY JAMALUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan melancarkan laman sesawang baharu dikenali sebagai CovidNow dalam usaha menyediakan data yang lebih telus untuk dikongsi bersama rakyat.

 Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, laman khusus tersebut malah sudah pun boleh dilayari bermula pukul 6 petang semalam menerusi alamat https://COVIDNOW.moh.gov.my.

 “Data harian terkini pula akan mula tersedia selepas pukul 12 tengah malam setiap hari seiring dengan hasrat saya untuk lebih telus dalam perkongsian maklumat yang terbaharu,” katanya.

 Beliau menyatakan demikian dalam sidang akhbar di sini hari ini selepas mempengerusikan mesyuarat pengurusan tertinggi kementeriannya mengenai pelbagai isu berkaitan Covid-19.

 Sebelum ini, kementerian itu memuat naik data berbentuk granular ke dalam aplikasi hos penyedia perisian Internet dimajukan firma ternama GitHub Inc. berpusat di Amerika Syarikat.

 Ini termasuk data Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dimuat naik oleh pihak Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksinasi (JKJAV) dan sentiasa ditambah baik.

 Mengulas lanjut, Khairy menambah, Malaysia antara negara terawal di dunia yang berkongsi data secara terbuka kepada rakyatnya bagi memberi kefahaman situasi wabak berkenaan.

 “Bagaimanapun, paparan data disediakan GitHub itu dirasakan lebih sesuai untuk mereka yang mahir dengan sains data,” katanya merujuk rungutan banyak pihak berhubung isu itu.

 Justeru ujarnya, laman sesawang baharu CovidNow akan memaparkan data utama yang lebih mudah difahami dan boleh diakses oleh masyarakat agar mesej disampaikan lebih baik.

 Beliau turut mengucapkan tahniah kepada pasukan yang ditugaskan membangunkan laman itu dan sebenarnya mengambil masa beberapa bulan lalu susulan kritikan pelbagai pihak.

 Pada masa sama, beliau berharap usaha itu akan memberi kesedaran tinggi kepada rakyat memahami senario semasa Covid-19 dalam negara dan melakukan perubahan tingkah laku.

 Usaha berterusan ini jelas Khairy, dengan mempertingkatkan amalan rutin prosedur operasi standard (SOP) agar boleh memasuki fasa baharu hidup bersama virus sebagai endemik.

 “Set data ditambah melibatkan perincian kes baharu dan kematian yang turut ada status imunisasi dan jenis vaksin diterima pesakit atau si mati serta data kapasiti katil hospital,” jelasnya.

 Pelaporan yang lebih tepat juga melibatkan kes kematian apabila masa dan tarikh sebenar kejadian akan dilaporkan pada hari pertama sebelum bedah siasat dan pengesahan kematian.

 Justeru beliau berharap tidak berlaku lagi pelaporan tertunggak kes lama yang disebabkan birokrasi lambat disahkan seperti sebelum ini sedangkan ia tidak menggambarkan situasi terkini.

 Beliau memberi contoh kes di Selangor dan Kuala Lumpur yang direkodkan amat tinggi namun apabila diteliti semula ia adalah berpunca daripada kelewatan pengesahan prosedur klinikal.

 “CovidNow dijamin memaparkan data sebenar daripada sumber utama serta disiarkan secara berstruktur dan berfokus yang dikemas kini berbanding imej statistik semata-mata,” tegasnya.-UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN