Covid-19 sebagai endemik – PM - Utusan Malaysia

Covid-19 sebagai endemik – PM

WARGA kota kembali bekerja dan menjalankan urusan harian dengan pematuhan SOP ketat. Semalam, R-naught Covid-19 di seluruh negara pertama kalinya berada di bawah 1.0. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan yakin Malaysia berada di landasan tepat ke arah pemulihan negara selepas kadar purata kebolehjangkitan (R-naught) Covid-19 di seluruh negara buat pertama kalinya selepas beberapa bulan kini berada di bawah 1.0.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, berdasarkan unjuran data Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV), purata kadar vaksinasi di setiap negeri dijangka mencapai 80 peratus bagi populasi dewasa menjelang penghujung bulan ini.

“Saya percaya kadar vaksinasi 100 peratus akan dicapai akhir Oktober, sekali gus memberi perlindungan kepada Keluarga Malaysia.

“Rakyat dan seluruh Keluarga Malaysia juga perlu bersedia untuk hidup bersama Covid-19 sebagai endemik selepas Oktober apabila suntikan vaksin dijangka selesai sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan selepas me­syuarat Sidang Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 semalam.

Perdana Menteri berkata, Sidang Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 selepas ini akan dikenali sebagai Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik dengan penyertaaan pertama kali wakil daripada parti pembangkang.

Kata beliau, ia sebagai satu pendekatan dan usaha kolektif untuk melibatkan semua pemegang taruh bagi memastikan pemulihan negara berjalan seperti dirancang, seiring dengan semangat Keluarga Malaysia.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diminta untuk membentangkan strategi baharu pandemik dan endemik yang bersesuaian selain daripada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) semata-mata.

Beliau pada masa sama me­nyambut baik saranan mengenai usaha untuk melakukan perubahan kepada tingkah laku (behavioural change) seperti yang diumumkan KKM.

“Keluarga Malaysia perlu sedar, akhirnya kita terpaksa hidup bersama Covid-19 seperti yang berlaku di seluruh dunia,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, berikutan perkembangan baik Pelan Pemulihan Negara (PPN), kerajaan turut mengumumkan Melaka beralih kepada Fasa 2, manakala Negeri Sembilan ke Fasa 3 bermula esok.

Selain itu, kata beliau, kerajaan bersetuju untuk membuka sektor pelancongan di beberapa destinasi di bawah program ‘travel bubble’ berdasarkan syarat-syarat yang ditetapkan dengan Pulau

Langkawi dipilih sebagai projek rintis untuk dibuka kembali kepada pelancong tempatan bermula 16 September ini.

“Destinasi pelancongan yang lain dibenarkan beroperasi apabila kadar vaksinasi lokaliti mencapai 80 peratus,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN