Buka sekolah kena ikut mukim, daerah - Utusan Malaysia

Buka sekolah kena ikut mukim, daerah

Sistem KBAT yang dilaksanakan di sekolah dilihat menekan murid sehingga ada yang hilang minat belajar. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keputusan pembukaan sekolah mengikut fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada 3 Oktober ini  tidak begitu sesuai malah sudah tidak relevan kerana sepatutnya Kementerian Pendidikan menggunakan data kes mengikut mukim atau daerah yang dilihat lebih tepat.

Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, terdapat beberapa daerah atau mukim di negeri tertentu mencatatkan jumlah jangkitan Covid-19 lebih rendah berbanding kawasan lain.

“Sebagai contoh, data pada 15 September lalu, menunjukkan Sarawak berada dalam negeri fasa tiga PPN. Maksudnya kementerian  membenarkan sekolah di Sarawak dibuka sedangkan kes di negeri itu masih tinggi jika kita merujuk kepada data kes daerah atau bahagian di negeri itu.

“Hanya beberapa bahagian  di Sarawak menunjukkan kes harian yang rendah dan terkawal seperti Maradong, Konawit, Matu, Lundu, Telang Usan, Beluru dan Bukit Mabong manakala daerah lain masih sangat tinggi seperti Kuching dengan 1,866 kes harian. Tetapi oleh kerana Kuching berada di negeri fasa tiga, kementerian membenarkan sekolah  dibuka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Kementerian Pendidikan mengumumkan sesi persekolahan secara bersemuka bermula 3 Oktober ini, dilaksanakan mengikut fasa dalam PPN dan secara penggiliran.

Menterinya, Datuk Dr Radzi Jidin mengumumkan hanya negeri dalam fasa dua, tiga dan empat yang akan memulakan sesi persekolahan tersebut mengikut tahap umur manakala sekolah di negeri fasa satu, iaitu Kedah dan Johor akan kekal ditutup dan akan meneruskan sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Anuar kemudian mengambil contoh di negeri fasa satu seperti Johor kerana ada kawasan yang langsung tiada kes harian namun sekolah tidak dibenarkan dibuka misalnya Kundang, Sembrong dan Kambau.

“Begitu juga di negeri fasa dua seperti Selangor ada mukim kes harian adalah sifar tetapi sekolah diarahkan kekal ditutup seperti mukim Hulu Tinggi., Sungai Gumut, Sungai Tinggi dan Kuala Kalumpang,” jelasnya,

Beliau mempersoalkan mengapa sekolah di kawasan selamat di negeri fasa satu dan dua kekal ditutup sedangkan sekolah negeri fasa tiga di daerah kes tinggi telah dibenarkan untuk dibuka.

“Sebab itu menggunakan fasa-fasa PPN sebagai asas pembukaan sekolah adalah kurang sesuai. Sepatutnya kementerian menggunakan data kes mukim atau daerah sebagai asas membuat keputusan pembukaan sekolah. Itu lebih selamat dan tepat,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN