APM Melaka tangkap 11 ekor ular sehari - Utusan Malaysia

APM Melaka tangkap 11 ekor ular sehari

ANGGOTA APM Melaka menunjukkan ular tedung selar tiga meter yang ditangkap di Kampung Parit Melana di Melaka minggu lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Angkatan Pertahanan Awam (APM) Melaka menjangkakan peningkatan kes penangkapan ular, susulan perubahan cuaca daripada monsun barat daya kepada monsun timur laut.

Data rasmi menunjukkan, agensi itu telah menyelesaikan 2,731 kes tangkapan reptilia berkenaan bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.

Jika dikira purata harian, ini bermakna APM Melaka melakukan kira-kira 11 tangkapan sehari di tiga daerah di negeri ini iaitu Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarahnya, Lt. Kol. (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata, ular gemar mencari tempat perlindungan di kawasan yang gelap, lembap, timbunan berkayu dan semak samun.

Menurut beliau, pihaknya menyelesaikan sebanyak 3,868 kes tangkapan ular sepanjang tahun lalu.

“Melaka memasuki musim hujan yang boleh menyebabkan banjir kilat di kawasan rendah dan secara tidak langsung akan mengundang kehadiran haiwan berbisa itu di kawasan yang mempunyai penduduk.

“Ular mencari lokasi baharu yang lebih tinggi dan kering untuk berlindung serta mencari makanan. Justeru, kes tangkapan ular akan meningkat bukan sahaja di Melaka, tetapi di negeri-negeri lain juga,” katanya ketika ditemui.

Minggu lalu, Utusan Online melaporkan, hasrat seorang remaja ingin menghalau haiwan yang sering mencuri telur ayam milik keluarganya terbantut selepas bertembung dengan seekor ular tedung selar di rumahnya di Kampung Parit Melana dekat sini.

Dalam kejadian pukul 3.40 petang itu, ular sepanjang tiga meter dan seberat enam kilogram itu bagaimanapun dapat ditangkap dengan bantuan APM Melaka.

Tambah Cuthbert John, Melaka Tengah mencatatkan kes tertinggi iaitu sebanyak 1,512 kes, diikuti Jasin (707) dan Alor Gajah (512).

Menurutnya, daerah itu mengalami pembangunan pesat yang mana ia telah memusnahkan habitat semula jadi haiwan berbisa tersebut.

“Saya lihat banyak kawasan di Melaka Tengah sudah menjadi bandar dan didiami manusia. Perubahan landskap ini mendorong ular mencari tempat persembunyian baharu setelah tempat asalnya diganggu.

“Apabila tempat persembunyian terhad, maka ular akan memilih belakang rumah, tong sampah, tasik, parit dan kolam,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN