MELAKA: Sebanyak 45 peratus inap desa di negeri ini sudah ditempah, sama ada bagi tujuan pelancongan atau melawat saudara-mara.
Situasi itu menunjukkan keterujaan orang ramai selepas Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya mengumumkan gelembung pelancongan di negeri ini.
Pengerusi Homestay Melaka, Datuk Akramuddin Abdul Aziz berkata, tempahan penginapan itu melibatkan individu dari dan luar Melaka.
Katanya, memandangkan kerajaan negeri membuat keputusan untuk tidak membuka pintu sempadan negeri pada 1 Oktober ini, pengusaha inap desa mengamalkan pendekatan lebih fleksibel berkenaan tarikh tempahan untuk mengelakkan kerugian.
Perkara itu perlu dibuat bagi mengelakkan pelanggan membatalkan terus tempahan atau menuntut kembali wang pendahuluan.
“Ada juga permintaan daripada orang ramai supaya inap desa membuat pakej-pakej menarik untuk melawat Melaka.
“Ini menunjukkan keterujaan mereka untuk melancong setelah sekian lama duduk di rumah,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Minggu lalu, Utusan Online melaporkan, orang ramai yang berhasrat melancong ke Melaka bermula 1 Oktober ini, diminta menangguhkan sebentar perancangan tersebut sehingga kadar vaksinasi negara mencapai tahap 90 peratus.
Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, kerajaan negeri tidak membuka pintu sempadan bagi tujuan pelancongan, meskipun Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya telah mengumumkan gelembung pelancongan di negeri ini.- UTUSAN










