44 tahun tidak jumpa, wanita cari kakak - Utusan Malaysia

44 tahun tidak jumpa, wanita cari kakak

NORAIDAH Othman menunjukkan gambar kakaknya, Faridah bersama suaminya pada 1993 ketika ditemui di rumahnya di Taman Desa Permai, Seri Manjung, Lumut, Perak, hari ini. - UTUSAN/SHAMSUL KAMAL AMARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT:  ‘Kali terakhir berjumpa kakak  ialah pada 1977 ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri di rumah keluarga kami di Felda Pasir Besar, Gemas, Negeri Sembilan.

“Ketika itu saya berusia 16 tahun dan sejak itu tidak pernah berjumpanya lagi.”

Itu kata Noraidah Othman, 61, yang merindui untuk berjumpa semula kakaknya bernama Faridah yang sudah 44 tahun tidak ditemukannya.

Noraidah berkata, kakaknya itu adalah anak kepada isteri pertama bapanya, Othman Alang, ketika tinggal di Singapura pada tahun 1950-an.

Menerusi perkahwinan itu, Othman memperoleh dua anak termasuk Faridah tetapi seorang daripadanya meninggal dunia, sebelum bercerai beberapa tahun kemudian.

Faridah pula diserahkan kepada keluarga angkat di Singapura yang dikenali hanya dengan nama Kassim dan isterinya, Sharifah.

Othman kemudian berkahwin dengan Nona Said pada 1959 dan hasil perkahwinan itu memperoleh enam anak termasuk Noraidah sebagai anak sulung dan menetap di Felda Pasir Besar, Gemas pada 1970.

Noraidah berkata, ketika sambutan Aidilfitri pada 1977, Faridah bersama keluarga angkatnya datang dan turut bermalam di rumah mereka dan selepas itu kakaknya itu kerap juga menelefon mereka sekeluarga.

Noraidah kemudian berkahwin dengan Mohd. Yusop Osman pada 1980 dan berpindah ke daerah Manjung tidak lama kemudian manakala Faridah pula berkahwin dengan seorang lelaki berketurunan Pakistan di Singapura pada 1993 dan turut menghantar gambar perkahwinan itu kepada mereka.

“Kami mula terputus hubungan selepas arwah bapa dan ibu tinggal bersama saya di Manjung pada 2003,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Taman Desa Permai, Seri Manjung di sini hari ini.

Noraidah menjelaskan,  perhubungan mereka sebelum ini hanya menggunakan telefon rumahnya di Felda dan nombor telefon berkenaan kini sudah tidak digunakan lagi.

Jelasnya, ibunya meninggal dunia pada usia 62 tahun pada 2005 manakala bapanya menghembuskan nafas terakhir pada 23 September 2019 pada usia 82 tahun.

Katanya,  dia difahamkan ibu dan bapa angkat Faridah juga sudah meninggal dunia.

“Alamat terakhir kakak Faridah yang diketahui ialah di Bukit Timah, Singapura dan saya cuba mencarinya sebelum ini tetapi gagal,” katanya.

Menurutnya, pandemik Covid-19 yang melanda dunia akhir 2019 menyukarkan lagi usaha pencariannya terutama apabila pintu sempadan Malaysia-Singapura ditutup.

Sehubungan itu, dia meminta jika ada sesiapa yang mengetahui atau Faridah sendiri dapat menghubungi suaminya, Mohd. Yusop di talian 011-35572728. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN