3,500 hektar hutan simpan di Kedah diterokai - Utusan Malaysia

3,500 hektar hutan simpan di Kedah diterokai

MUHAMAD Abdullah (tengah) menyiram pokok yang ditanam sempena Kempen Penanaman 100 juta pokok 2021-2025 di Kompartmen 4, Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik hari ini. - UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIK: Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) mengesan seluas 3,500 hektar kawasan hutan simpan di negeri ini diteroka secara haram oleh pihak tertentu sejak tahun 2011.

 

Pengarahnya, Muhamad Abdullah berkata, kebanyakan penerokaan haram itu dikesan dilakukan untuk tujuan pertanian.

 

“Hutan simpan itu diterokai untuk menanam durian, getah dan kelapa sawit. Ada juga yang teroka hutan untuk dijadikan kawasan penempatan dengan membina rumah.

 

“Sejak Januari lalu hingga sekarang kita berjaya memberkas 20 orang lelaki kerana terlibat dengan aktiviti pencerobohan hutan dan kertas siasatan sedang disediakan sebelum diserahkan kepada pendakwa raya untuk tindakan lanjut,” katanya.

 

Beliau berkata demikian selepas menyertai penanaman pokok sempena Kempen Penanaman 100 juta pokok 2021-2025 di Kompartmen 4, Hutan Simpan Bukit Enggang di sini hari ini.

 

Mengulas lanjut, Muhamad berkata, aktiviti pencerobohan hutan simpan secara haram menyebabkan kerugian yang tinggi kepada negara sama ada membabitkan kerugian biodiversiti dan pokok balak yang ditebang.

 

Katanya, JPNK akan mengambil tindakan memusnahkan pokok-pokok yang ditanam secara haram oleh peneroka sebelum menanam kembali pokok hutan untuk kelestarian alam.

 

“Sekiranya pokok-pokok pertanian yang ditanam sudah lama, kita akan mendapatkan kelulusan kerajaan negeri untuk tindakan selanjutnya.

 

“Kawasan hutan simpan di Kompatment 4 ini terdapat aktiviti penerokaan secara haram melibatkan kawasan seluas lima hektar untuk menanam durian sebelum ini dan kita kesan awal serta menanam semula sebanyak 1,000 pokok hutan seperti meranti, merawan, merbau dan cengal,” tambahnya.

 

Dalam pada itu, beliau memberitahu, sebanyak 2.57 juta pokok akan ditanam di kawasan yang dikenal pasti di seluruh negeri ini sempena kempen penanaman 100 juta pokok di seluruh negara sehingga tahun 2025.

 

“Setiap tahun kita akan tanam sebanyak 550,000 pokok dengan kerjasama pelbagai agensi serta orang ramai di tanah milik mereka.

 

“Kita berharap menerusi kempen ini, orang ramai akan memberi kerjasama kepada JPNK untuk membantu menghijaukan alam, selain menjadi mata dan telinga kepada kita bagi mengekang aktiviti pencerobohan haram di hutan simpan,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN