KUALA TERENGGANU: Seramai 18 gelandangan di bandar ini menerima suntikan CanSino dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) semalam.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ahmad Shah berkata, inisiatif yang digerakkan itu selaras untuk mencapai 80 peratus imuniti kelompok akhir bulan ini sekali gus mengekang penularan virus.
Katanya, walaupun berdepan cabaran untuk mendekati golongan itu berikutan isu kesihatan mental dan masalah dokumen pengenalan diri mereka, namun proses vaksinasi berjalan lancar.
“Pada awalnya kita menyasarkan 14 orang sahaja untuk divaksin tetapi bilangannya bertambah kepada 18 orang kerana ramai yang sudi bekerjasama.
“Insya-Allah selepas ini kita akan buat lagi program sama dalam usaha untuk memastikan golongan gelandangan tidak terpinggir daripada PICK,” katanya dalam sidang akhbar di sini, semalam.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md. Noor berkata, program tersebut turut melibatkan beberapa agensi termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) dan Jabatan Kesihatan negeri.
Jumlah gelandangan di negeri ini dianggarkan seramai 50 orang dengan kebanyakannya tertumpu di sekitar pusat bandar. – UTUSAN










