BALING: Ramai golongan muda yang masih mengambil sikap tidak endah mengenai sejarah kemerdekaan tanah air.
Begitu juga dengan pelajar sekolah yang ada antaranya masih tidak tahu menyanyikan lagu NegaraKu serta tidak menghormatinya apabila mendengarnya.
Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, berkata, usaha memupuk semangat cintakan negara perlu dilakukan berterusan bagi memastikan semua rakyat di negara ini lebih bersifat patriotik.
“Bermula hari ini, Jalur Gemilang terus diberikan kepada orang ramai agar semuanya dapat mengibarnya di rumah-rumah, masjid, surau dan premis masing-masing bagi memeriahkan lagi sambutan ulang tahun kemerdekaan ini.
“Semangat ini harus ditunjukkan pada setiap masa dan saya mohon jika ternampak Jalur Gemilang ini jatuh di jalan raya atau di mana sahaja, tolong kutip dan simpan atau pasang kembali di tempat-tempat yang sesuai,” katanya program Kempen Kibarkan Jalur Gemilang di Pekan Baling, baru-baru ini.
Beliau turut mengingatkan rakyat supaya tidak mempersia-siakan kemerdekaan yang sedang dikecapi dan menjaganya demi kesinambungan kemerdekaan untuk generasi akan datang.
“Hari ini lebih 7,000 Jalur Gemilang bersaiz kecil dan besar diedarkan kepada pengguna-pengguna jalan raya, premis-premis serta pejabat-pejabat kerajaan.”
“Program ini akan berterusan sehingga 16 September untuk terus berikan semangat dan kita akan bersama-sama rakyat memeriahkan lagi sambutan kemerdekaan ini,” katanya.
Katanya lagi, meskipun tiada sambutan seperti tahun-tahun lalu akibat pendemik Covid 19, namun ia bukan penghalangnya untuk mengimarahkan kediaman masing-masing sebagai bukti cintakan negara. – UTUSAN ONLINE