MELAKA: Penderitaan bekas pemain tengah Melaka United (MU) dan Johor FC (kini Johor Darul Ta’zim), Mohd. Azizan Baba akibat penyakit kanser di paha kirinya mendapat perhatian Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Tunku Ismail prihatin terhadap kisah penderitaan Mohd. Azizan disiarkan Utusan Malaysia dengan memberi sumbangan RM50,000.
Ketika ditemui, Mohd. Azizan berkata, dia bersama isteri serta lapan anak berusia setahun hingga 14 tahun berterima kasih kepada baginda.
“Sumbangan RM50,000 amat bermakna buat saya untuk membiayai kos perubatan dan rawatan kanser dihidapi sejak Disember tahun lalu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Bachang dekat sini.
Tambah Mohd. Azizan, sumbangan tersebut meringankan bebannya kerana tidak lagi mempunyai sumber pendapatan tetap sejak disahkan dijangkiti sel giant tumor hingga hilang upaya berjalan.
“Hanya isteri saya, Yusriati Mohd. Yunos yang bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat swasta. Tapi pendapatannya RM1,000 sebulan sekadar untuk membeli barangan keperluan harian,” ujarnya.
Dia yang menyarung jersi Johor FC dari 2005 hingga 2011 berkata, akan menjalani rawatan radioterapi di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru, Johor pada hujung September depan.
“Radioterapi perlu dilakukan segera dalam usaha pihak doktor untuk memastikan jangkitan kanser tidak merebak ke anggota badan yang lain.
‘Pada masa ini, kaki kirinya saya tidak boleh digerakkan lagi hingga menyukarkan untuk berjalan, terpaksa dipapah oleh isteri jika ingin mandi atau ke bilik air,” katanya sayu. – UTUSAN











