SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima menghadap Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM) baharu di Istana Bukit Kayangan, di sini.
Pelantikan Prof. Dr. Mohd. Roslan Sulaiman itu berkuat kuasa 1 September depan sehingga 31 Ogos 2023.
Menerusi kenyataan Facebook (FB) Selangor Royal Office, Sultan Sharafuddin yang juga Canselor UPM diberi taklimat ringkas mengenai visi dan halatuju universiti berkenaan.
Taklimat itu khususnya dalam aspek pemerkasaan bidang penyelidikan dan sektor pertanian berteknologi tinggi.
Turut berangkat pada pertemuan itu, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan Mohd. Roslan kembali semula bertugas sebagai Naib Canselor UPM mulai 21 Jun lalu selepas jawatan itu kosong selama kira-kira tiga bulan.
Pelantikan semula beliau mendapat sokongan Persatuan Alumni Universiti Putra Malaysia (PAUPM) yang turut menghargai keputusan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan menyifatkannya sebagai tepat demi memastikan kelancaran pentadbiran serta pengurusan UPM yang cekap dan berkesan.
Mohd. Roslan yang berkelulusan Ijazah Doktor Perubatan Veterinar dari UPM pada 1994 itu melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Kedoktoran dalam bidang Fisiologi Sistem Saraf di The University of Edinburgh, Scotland United Kingdom pada 1999.
Beliau berkhidmat sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), UPM selama hampir tiga tahun serta menggalas jawatan pentadbiran dan akademik lain seperti Pengerusi Jemaah Pengetua Kediaman Pelajar UPM dan Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM.
Selain itu, beliau dipertanggungjawabkan untuk menjalankan fungsi (tugas) sebagai Naib Canselor UPM sejak 1 Julai 2020. -UTUSAN ONLINE