SPRM, PDRM siasat jangan pilih bulu - Utusan Malaysia

SPRM, PDRM siasat jangan pilih bulu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu mengamalkan sikap berkecuali dalam soal sogokan dan tawaran untuk lompat parti membabitkan wakil rakyat menjelang pembukaan sidang Parlimen, bulan depan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pengamal undang-undang, Profesor Datuk Dr. Salleh Buang berkata, kedua-dua agensi itu tidak boleh pilih kasih atau cenderung kepada mana-mana parti sekiranya mereka menerima laporan mengenai ‘jenayah’ tersebut.

SALLEH BUANG

Menurut beliau, menjelang pembukaan Parlimen, ia mempunyai kaitan dengan usul undi percaya, maka sudah semestinya ada tawaran dan ‘katak melompat’.

“Andainya ada ahli parlimen yang membuat laporan dengan menunjukkan bukti kukuh, PDRM atau SPRM kena siasat.

“Saya hendak tekankan, jika ada laporan, mereka (PDRM atau SPRM) perlu menjalankan siasatan. Ada sahaja laporan kuat (kukuh) atau tidak mesti investigate (siasat).

“Mereka tidak boleh pilih kasih dan perlu telus serta tidak cenderung kepada mana-mana parti (terutamanya) jika ada laporan,” kata beliau ketika dihubungi semalam.

Semalam akhbar ini melaporkan, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Datuk Seri Azam Baki memberitahu, agensi itu menyiasat berhubung tawaran rasuah dengan nilai tertentu membabitkan ahli politik.
Sehubungan itu, Azam berkata, SPRM telah pun mengadakan pertemuan dengan ketiga-tiga ahli parlimen berkenaan untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung satu aduan diterima oleh SPRM manakala dua lagi aduan dibuat kepada PDRM.

Bagaimanapun,  PDRM memaklumkan dua aduan yang diterima diserahkan kepada SPRM.

Mengulas lanjut, Salleh berkata, sesuatu laporan yang dibuat itu terbahagi kepada dua iaitu pertama laporan terus disiasat dan kedua hasil siasatan itu akan diserahkan kepada Peguam Negara.

“Berapa lama (siasatan) itu kita tak tahu sama ada cepat atau lambat, jika tak habis siasatan mesti kena continue (teruskan).

“Jika sudah habis siasatan, ia mesti diserahkan kepada pendakwa atau Peguam Negara, maka dekat situ sudah jadi cerita lain sama ada ia hendak mendakwa atau sebaliknya.

“Ini kerana PDRM dan SPRM hanya mempunyai kuasa menyiasat tetapi tidak ada kuasa pendakwaan yang masih perlu diserahkan kepada Peguam Negara,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mempersoalkan ada kes ahli parlimen yang mendakwa mereka `dibeli’ tetapi hanya tampil membuat laporan kepada media dan bukannya kepada PDRM atau SPRM.

“Dan jika sudah buat laporan, mereka (PDRM dan SPRM) akan buat siasatan, jika tidak (itu) ada sesuatu yang tidak kena dengan dua agensi penyiasat,” katanya.

Sementara itu, pengamal undang-undang, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, sikap tidak berkecenderungan pihak berkuasa kepada mana-mana pihak amat penting dalam memastikan kedaulatan undang-undang terus terpelihara.

“PDRM, SPRM atau mahkamah dan sesiapa yang menjawat jawatan awam kena bertindak berpaksikan kedaulatan undang-undang tanpa memihak kepada kerajaan atau pembangkang.

“Itu adalah harapan dan amanah rakyat melalui Perlembagaan. Mereka tidak boleh memainkan peranan seolah-olah memihak kepada mana-mana pihak,” katanya.

Menurut beliau, begitu juga siasatan dan tindakan mestilah berpandukan kepada butiran-butiran atau tekanan-tekanan yang dilaporkan tanpa mengambil mana-mana pihak berkepentingan dalam membuat keputusan.

“Jika tidak, bukan sahaja negara terpalit dengan kemelut politik tetapi kepercayaan terhadap sistem tadbir negara turut jahanam,” katanya.

Sehubungan itu, Haniff berkata, jika terdapat beberapa perkara yang tidak dilakukan PDRM dan SPRM kerana agensi itu takut menerima `tekanan’, perkara itu adalah sesuatu yang tidak sihat seperti ‘durian’ dan ‘katak’.

“Ini boleh dilihat juga mengenai isu penangguhan sidang Parlimen hingga September ini dan wal hal boleh diadakan mesyuarat khas pada bila-bila masa untuk membuat usul undi percaya.

“Perkara tersebut sebenarnya boleh dibuat dalam masa setengah jam tetapi ia tidak dilakukan,,” katanya.

Katanya, ini berikutan banyak lagi perkara lain yang lebih penting untuk maslahat rakyat yang pihak berkuasa boleh fokus jika kemelut politik berakhir. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN