PETALING JAYA: Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) semalam menyumbang pek makanan kepada petugas Fakulti Perubatan Hospital Sungai Buloh, Selangor sempena Sambutan Hari Jururawat Sedunia 2021.
SKM dalam satu kenyataan memaklumkan, sumbangan yang merupakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu diadakan sebagai tanda penghargaan kepada petugas barisan hadapan terlibat.
Katanya, sumbangan itu diharapkan dapat menyuntik semangat jururawat dan petugas agar kekal komited dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.
“Bagi membantu usaha kerajaan mencapai sasaran imuniti kelompok secepat mungkin, jururawat juga ditugaskan di beberapa buah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di sekitar Lembah Klang.
“Jururawat dari Hospital UiTM Sungai Buloh juga terbabit dalam pemberian perkhidmatan di beberapa buah Pusat Pemberian Vaksin di sekitar Lembah Klang bermula bulan Mac lalu bagi menjayakan Program Imunisasi Covid Kebangsaan (PICK) yang dilaksanakan kerajaan bagi membendung penularan Covid-19,” katanya.
SKM dan Hospital UiTM Sungai Buloh berharap program seumpama itu dapat diteruskan pada masa hadapan bagi menyuntik semangat kerjasama dan prihatin kepada masyarakat. – UTUSAN ONLINE