Sindiket judi tawar gaji lumayan, pancing orang muda - Utusan Malaysia

Sindiket judi tawar gaji lumayan, pancing orang muda

KESEMUA sembilan lelaki dan tiga wanita tempatan diberkas di sebuah rumah di Taman Paya Rumput Perdana, Melaka, Jumaat lalu. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Sekumpulan 12 individu ditahan selepas dikesan memulakan dunia pekerjaan mereka dengan terlibat dalam kegiatan perjudian haram dalam talian.

Kesemua sembilan lelaki dan tiga wanita tempatan berusia antara 18 hingga 28 tahun itu diberkas kira-kira pukul 6.30 petang di sebuah rumah di Taman Paya Rumput Perdana di sini, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, hasil maklumat, serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) di bawah Op Dadu.

Katanya, ketika serbuan dilakukan, kesemua suspek dipercayai sedang menjalankan kegiatan promosi perjudian melalui pusat panggilan.

“Hasil soal siasat, kesemua mereka mendakwa telah ditawarkan pekerjaan sambilan tersebut dengan bayaran gaji antara RM2,500 sehingga RM3,000 sebulan.

“Kita juga percaya kegiatan itu telah aktif sejak sebulan lalu dan dalang sindiket ini menyasarkan golongan muda yang ingin memulakan pekerjaan dengan cara mudah, namun bergaji lumayan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, modus operandi kumpulan itu adalah melakukan promosi menerusi laman sosial Facebook, aplikasi WhatsApp dan Telegram, manakala transaksi dibuat menggunakan perbankan dalam talian.

“Kita turut merampas tiga set komputer riba dan 26 buah telefon bimbit pelbagai jenama  yang disyaki digunakan bagi kegiatan tersebut.

“Suspek juga menganjurkan tambah nilai perjudian dalam talian dengan menjadi ejen,” jelasnya.

Kesemua mereka direman lima hari bermula 7 Ogos lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4 (1) (g) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN