PETALING JAYA: Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) telah menerbitkan program ‘Sembang-sembang ASNB’ bagi mendidik masyarakat mengenai pengurusan kewangan dan pelaburan.
Program selama 10 minit itu membabitkan 12 episod disiarkan oleh RTM dan di bawah inisiatif Literasi Kewangan ASNB.
Ia mengupas topik-topik berkaitan pengurusan wang dan pelaburan individu termasuk mengenai aliran tunai, hutang, insurans dan pewarisan menerusi perbincangan bersama dan kupasan oleh ahli panel jemputan dari industri kewangan, pelaburan dan lain-lain industri berkaitan.
Antara ahli panel termasuk Pengurus Pembangunan Perniagaan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff; penasihat kewangan berlesen, Suzardi Maulan dan Dr. Adam Zubir; peguam, Nur Zabetha Muhammad Nor dan Pengurus Unit Syariah Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Ahmad Husni Abd. Rahman.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif ASNB, Mohammad Hussin berkata, menerusi program itu, ASNB telah menambah satu lagi sumber informasik mengenai pelaburan dan pengurusan kewangan di bawah teras Literasi Kewangan ASNB.
Beliau berkata, dengan program tersebut, lebih ramai rakyat Malaysia boleh belajar mengenai ilmu perancangan kewangan.
“Berdasarkan pengalaman kami ketika menganjurkan seminar dan bertemu orang ramai dalam pelbagai program anjuran ASNB sebelum ini, maklum balas yang kami terima ialah kurangnya maklumat mengenai pengurusan wang dan pelaburan untuk membantu mereka mengurus wang dengan lebih baik.
“Jadi menerusi `Sembang-sembang ASNB’, kami harap orang ramai akan mendapat sedikit panduan bagaimana mereka boleh mengurus wang dan pelaburan dengan lebih berkesan
untuk kehidupan yang lebih selesa,” katanya dalam kenyataan.
Program `Sembang-sembang ASNB’ mula bersiaran di TV1 pada 2 Ogos lalu, pukul 1.45 petang setiap Isnin, Selasa dan Rabu. Siaran ulangan akan disiarkan di TV Okey bermula 13 Ogos ini, setiap Jumaat hingga Ahad, pukul 2.15 petang.
Program itu juga akan dimuat naik di Facebook dan YouTube Sembang-sembang ASNB serta laman web ASNB pada Khamis setiap minggu bermula 5 Ogos ini. – UTUSAN










