KUDAT: Bekalan vaksin dos tunggal, CanSino dijangka tiba di Sabah pada minggu hadapan yang membabitkan 200,000 dos bagi penghantaran pertama.
Sebelum ini, Sabah memohon sebanyak 1.8 juta dos vaksin CanSino daripada kerajaan Persekutuan melalui Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Khairy Jamaluddin.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerajaan negeri mengemukakan permintaan agar Sabah diberi keutamaan untuk menerima vaksin dos tunggal, CanSino.
“Biarpun Jabatan Kesihatan Negeri Sabah meminta sebanyak 1.8 juta dos vaksin CanSino, tetapi bekalan pertama yang akan sampai pada minggu hadapan hanya sebanyak 200,000 dos,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran program Bantuan Ihsan Komputer (BAIK) dan pemasangan perkhidmatan Very Small Aperture Terminal (VSAT) CONNECTme NOW dekat sini, hari ini.
Jelas beliau, permintaan itu dibuat dalam mesyuarat secara maya yang diadakan bersama Khairy selaku menteri bertanggungjawab bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Hajiji berkata, langkah mempercepatkan proses vaksinasi akan membantu negara memerangi wabak Covid-19.
Mengulas tentang VSAT, beliau berkata, sebanyak 50 lokasi pemasangan VSAT dikenal pasti di bawah menerusi program Jalinan Digital Negara (Jendela) pada tahun ini.
“Sebanyak RM3.5 bilion diperuntukkan kepada Sabah bagi meningkatkan capaian internet 4G di negeri ini sehingga mencapai 90 peratus menjelang 2023.
“Setakat Mei, sebanyak 51 menara telekomunikasi dinaik taraf daripada 3G kepada 4G manakala, 1,648 menara lagi masih dalam proses dinaik taraf,” katanya.
Tambah Hajiji, MOSTI Sabah juga akan memasang kemudahan VSAT di 300 lokasi terpilih pada tahun hadapan bagi melengkapi pemasangan VSAT di bawah program Jendela yang sedang dilaksanakan.
Di bawah Jendela, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengenal pasti 138 lokasi pemasangan VSAT di Sabah manakala, 59 VSAT lagi akan dipasang di sekolah yang tidak mempunyai kemudahan internet dan ia akan dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan. – UTUSAN ONLINE










