KUALA TERENGGANU: Kenaikan air secara mendadak akibat hujan lebat dipercayai menjadi punca puluhan ikan puyu naik ke darat dalam kejadian di Tanjung Karang, Selangor, kelmarin.
Bagaimanapun, pensyarah kanan Fakulti Perikanan dan Sains Makanan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Mohd. Fazrul Hisam Abd. Aziz berkata, fenomena itu bukan sesuatu yang luar biasa bagi hidupan akuatik berkenaan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, katanya, ikan puyu mampu bergerak secara merangkak bagi mencari habitat baharu dalam tempoh singkat sekiranya habitat asal mengalami gangguan.
“Puyu merangkak menggunakan penutup insangnya dan boleh bertahan di daratan dalam tempoh agak lama sebelum mendiami habitat baharu.
“Kenaikan air yang mendadak menyebabkan oksigen terlarut dan suhu berubah sekali gus mempengaruhi pergerakan puyu ke habitat baharu,” katanya di sini semalam.
Mohd. Fazrul Hisam berkata, faktor-faktor lain yang menyebabkan ikan puyu merangkak adalah kekangan sumber makanan di samping masalah ekologi termasuk abiotik dan biotik.
Semalam, tular video berdurasi satu minit 26 saat memaparkan puluhan ikan puyu dari parit yang tiba-tiba naik ke darat berhampiran sebuah surau hingga menggemparkan kalangan jemaahnya.
Perakam video berkenaan turut melahirkan rasa pelik dengan kejadian yang berlaku ketika hujan itu. – UTUSAN ONLINE