PM melawat kawasan tragedi kepala air di Yan - Utusan Malaysia

PM melawat kawasan tragedi kepala air di Yan

ISMAIL Sabri Yaacob bertemu dengan penduduk yang terkesan dengan tragedi kepala air di Taman Lembah Merbok di Tupah, Merbok, Sungai Petani hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob melakukan lawatan kerja rasmi pertamanya selepas dilantik Perdana Menteri dengan meninjau kawasan bencana tragedi kepala air di Gunung Jerai di Tupah, Merbok di sini hari ini.

Ismail Sabri yang mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kesembilan pada Sabtu lalu tiba di Taman Lembah Merbok, Tupah pada pukul 12.15 tengah hari.

Beliau yang diiringi Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor telah diberi taklimat ringkas mengenai kejadian kepala air di kawasan Tupah.

Perdana Menteri selepas itu meluangkan masa kira-kira 20 minit untuk bertemu dan menyampaikan sumbangan kepada penduduk terjejas di taman tersebut.

Kebanyakan rumah di taman tersebut dimasuki air bersama lumpur sedalam kira-kira 0.5 meter dalam kejadian pada pukul 3.30 petang itu.

Ismail Sabri juga melawat jambatan Tupah yang rosak di sini dan melihat kerja-kerja pembaikan rangkaian kabel serta saluran bekalan air yang rosak akibat kejadian itu.

Beliau selepas itu melawat Loji Air Tupah yang juga terjejas dalam tragedi itu.

Perdana Menteri kemudian meneruskan lawatan di kawasan terjejas di air terjun Titi Hayun di Yan.

Dalam tragedi ‘tsunami Jerai’ itu seramai lima mangsa maut, seorang cedera parah dan seorang lagi masih hilang.

Sebanyak 800 keluarga di Yan dan 200 keluarga lagi di Tupah terjejas dalam kejadian itu yang berlaku pada pukul 3.30 petang. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN