Petronas isytihar dividen tambahan RM7b kepada kerajaan - Utusan Malaysia

Petronas isytihar dividen tambahan RM7b kepada kerajaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) mengisytiharkan dividen tambahan sebanyak RM7 bilion kepada kerajaan. Ia menjadikan jumlah dividen yang dibayar kepada kerajaan RM25 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 (FY21), berbanding ramalan awal RM18 bilion.

Presiden dan Ketua Pegawai EKsekutifnya, Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata, semua aspek telah te­lah diambil kira ke atas bayaran dividen tambahan RM7 bilion itu, yang dipohon kerajaan bulan lalu.

Beliau berkata, Ahli Lembaga Kumpulan mempunyai kewajiban untuk memastikan dividen tambahan yang dibayar kepada kerajaan tidak menggugat kemampuan syarikat untuk mengekalkan kecairannya pada waktu yang sukar ini.

“Kami berada di bawah pengawasan kewangan luaran dan agensi penarafan kredit, bagi memastikan cara kami berbelanja dapat memastikan pulangan dan keuntungan selain sentiasa memberi perhatian kepada pemegang saham kami.

“Semasa mempertimbangkan pembayaran dividen tambahan kepada kerajaan, kami telah melakukan analisis. Kami adalah sebuah syarikat yang berada di bawah Akta Syarikat, jadi kami harus mempertimbangkan syarat kesolvenan syarikat,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan secara maya semalam.

Sementara itu, Ketua Pegawai Kewangan Petronas, Liza Mustapha turut menjelaskan, syarikat minyak dan gas negara itu berusaha mengimbangi antara komitmennya sekarang dan pertumbuhan syarikat dalam meme­nuhi kewajiban kepada pihak berkepentingan.

“Terdapat banyak perbincangan dan pemahaman ber­kenaan dengan kemampuan dan jenis hal yang akan diteliti oleh pasaran modal sebelum kita memutuskan jika permintaan dividen itu adalah sesuatu yang dapat dipenuhi,” katanya.

Pada tahun lalu, Petronas membayar dividen sebanyak RM34 bilion kepada kerajaan, sementara 2019 berjumlah RM54 bilion termasuk dividen khas sebanyak RM30 bilion. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN