SUNGAI PETANI: Keputusan kerajaan memberi kebenaran kepada 11 sektor ekonomi dibuka semula untuk negeri-negeri Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa Isnin lalu, melegakan peniaga di negeri ini.
Kebanyakan nereka didapati memulakan perniagaan selepas diberikan kebenaran beroperasi seperti kedai gunting rambut, pusat cuci kenderaan, perabot, pakaian, kedai buku, peralatan sukan dan jualan kereta.
Seorang pemilik kedai gunting rambut, Muhammad Saad Hamid, 65, dari Taman Ria Jaya di sini berkata, dia gembira dapat membuka semula premisnya selepas ditutup berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, Mei lalu.
Katanya, dia dan rakan-rakan sekerjanya hilang pendapatan bagi menyara keluarga dan terpaksa menggunakan wang simpanan untuk pembelanjaan harian.
“Syukur kerana sejak hari pertama beroperasi, ramai pelanggan mendapatkan khidmat gunting,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Peniaga perabot terpakai, Araliya Muniff, 21, dari Merbok pula berkata, dia lega apabila perniagaan yang diusahakan bersama keluarganya sejak lima tahun lalu dapat beroperasi semula selepas ditutup sejak lebih tiga bulan lepas.
“Saya terpaksa menanggung kerugian besar kerana perabot di premis tidak dapat dijual selepas ditutup dalam tempoh lama.
“Pembukaan semula premis turut menggembirakan pekerja selepas mereka terputus pendapatan,” ujarnya.
Sementara itu, pengusaha khidmat cuci kereta di Taman Ria Jaya, Alias Abdullah, 53, berkata, dia mengalami masalah kewangan yang teruk selepas peniagaannya ditutup dalam tempoh lama.
“Walaupun pendapatan saya peroleh tidak lumayan seperti perniagaan-perniagaan lain, tetapi sekurang-kurangnya ada juga hasil untuk perbelanjaan harian,” katanya. – UTUSAN ONLINE