Pembangkang persoal kredibiliti Exco kesihatan - Utusan Malaysia

Pembangkang persoal kredibiliti Exco kesihatan

TAN KAR HING
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini ‘panas’ apabila Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Mohd. Akmal Kamaruddin dikecam kerana didakwa lemah menjalankan peranannya dalam menangani isu berkaitan pandemik Covid-19.

Pasa sesi perbahasan oleh Tan Kar Hing (PKR-Simpang Pulai), kredibiliti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selama itu bukan sahaja dipertikai, malah jawatan Exco bagi portfolio kesihatan juga disifatkan wajar disandang ADUN kerajaan lain yang lebih layak.

“Sejak 14 hari yang lalu, kes jangkitan Covid-19 semakin tinggi dengan jumlah kematian dan mereka yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) juga meningkat selain proses vaksinasi yang lambat.

“Saya mahu bertanya kepada Exco kesihatan, apa peranan beliau dalam menangani kes Covid-19 dan usaha yang dilakukannya. Saya minta pencerahan beliau semasa penggulungan.

“Saya susah hati kerana isu yang berkaitan kesihatan dan vaksin dijawab oleh Menteri Besar sedangkan ia adalah tugas utama beliau sebagai Exco kesihatan,” katanya dalam sesi perbahasan pada Mesyuarat Pertama Tahun Keempat Dewan Undangan Negeri Ke-14 di sini hari ini.

Kar Hing berkata, penglibatan aktif Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad dalam sebarang program berkaitan kesihatan dan vaksinasi juga dilihat lebih menonjol berbanding Mohd. Akmal selaku Exco kesihatan.

“PKPD di Meru, Menteri Besar (MB) turun, program Pikas MB turun, SilverVax dan mobile outreach juga MB turun.

“Rumusan saya, Exco kesihatan lagi sibuk daripada MB. Bagaimanapun, saya amat hargai usaha MB tetapi kasihanlah beliau jika lawan pandemik Covid-19 pun MB, isu GLC pun MB dan program vaksinasi pun MB.

“Jika Exco kesihatan tidak berminat dengan bidang ini, saya bagi cadangan untuk buat rombakan. Berilah ADUN dalam kalangan kerajaan yang lebih layak contohnya ADUN Temenggor dan Bukit Chandan,” katanya.

Menurut Kar Hing, kerajaan negeri juga diminta mewujudkan jawatan kuasa pilihan khas bagi kesihatan atau komuniti merangkumi penglibatan semua ADUN bagi menyalurkan idea dan membantu Exco kesihatan menjalankan tugas dengan lebih baik dan efektif.

“Kita minta Exco kesihatan turun padang, jangan biarkan MB sahaja turun padang. Tolong bantu beliau dan kami ADUN-ADUN baik kerajaan mahupun pembangkang sanggup bantu kerajaan negeri melawan pandemik Covid-19,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.