Covid-19: Pelajar MRSM masih trauma hilang bapa - Utusan Malaysia

Covid-19: Pelajar MRSM masih trauma hilang bapa

MOHAMAD Qamil Aqashah Mohd. Nasir (berdiri kanan) dan ahli keluarganya, Karmila Qistina Aisha (tengah), Mohamad Affiq Danish (berdiri kiri), Herlina Mohamed (duduk kerusi, kanan), Asqalani Al Imanee, (bawah kanan) dan Hadeeq Ismael (bawah kiri) bergambar kenangan bersama arwah bapa mereka, Mohd. Nasir Ismail (duduk kerusi, kiri) pada Hari Raya Aidilfitri tahun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: “Secara jujurnya, saya belum bersedia memulakan sesi persekolahan secara bersemuka pada bulan depan kerana masih trauma kehilangan ayah akibat Covid-19”.

Demikian luah pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuantan, Mohamad Qamil Aqashah Mohd. Nasir, 16, yang kehilangan bapanya, Mohd. Nasir Ismail, 54, pada 9 Julai lalu.

Bapanya disahkan positif Covid-19 pada 24 Jun lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bercakap kepada Utusan Malaysia, anak kedua daripada lima beradik itu berkata, dia perlu membuat persediaan secukupnya disebabkan masih terlalu rindu arwah bapa dan dalam masa sama belum bersedia ‘berpisah’ dengan ibu, kakak dan adik-adik kerana akan menetap di asrama sekolah.

Menurutnya, perasaan takut dan bimbang disisihkan rakan-rakan juga menyebabkan dia kurang bersemangat untuk kembali ke sekolah.

“Saya juga bekas pesakit Covid-19. Saya tahu ramai yang takut mendekati kami kerana bimbang dijangkiti namun mahu atau tidak saya perlu berdepan situasi ini ketika sekolah dibuka kelak.

“Saya harap kawan-kawan dan guru dapat menerima saya dan adik dengan hati terbuka dan tidak menyisihkan kami di sekolah,” katanya di sini semalam.

Selain Mohamad Qamil Aqashah dan arwah bapa, ibunya, Herlina Mohamed, 44; Karmila Qistina Aisha, 18, (kakak) dan tiga adiknya, Mohamad Affiq Danish, 14, (MRSM Kuantan) Asqalani Al Imanee, 8; dan Hadeeq Ismael, 7, kedua-duanya murid Sekolah Kebangsaan (SK) Teruntum turut dijangkiti Covid-19.

Mereka sekeluarga menjalani ujian calitan pada 26 Jun lalu di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini dan dikuarantin di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19, Institusi Latihan Perumahan dan Kerajaan Tempatan (IPKT) Bentong bermula 29 Jun sebelum dibenarkan pulang pada 8 Julai lalu.

Mohamad Qamil Aqashah berkata, selepas bapanya meninggal dunia, mereka sekeluarga amat tertekan dan emosi terganggu.

“Sampai satu tahap, kami hilang semangat untuk belajar. Namun, ibu sentiasa memberi nasihat dan meminta kami memberi tumpuan terhadap pelajaran walaupun proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) sukar.

“Saya perlu belajar lebih daripada biasa kerana akan menduduki peperiksaan International General Cambridge Secondary Education (IGCSE) Oktober depan,” katanya.

Sementara itu, Herlina berkata, anak-anaknya berminat untuk ke sekolah selepas berbulan mengikuti PdPR namun apabila dijangkiti Covid-19, fikiran mereka sedikit terganggu walaupun sudah pulih sepenuhnya.

“Ia sangat memberi kesan kepada anak-anak terutama yang belajar di MRSM kerana mereka perlu menetap di asrama. Cuma pesan saya pada anak-anak untuk terus patuhi SOP (prosedur operasi standard) dan ikut arahan sekolah jika sesi persekolahan tetap dibuka,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×