Pasangan OKU naik motosikal roda tiga terima suntikan - Utusan Malaysia

Pasangan OKU naik motosikal roda tiga terima suntikan

ABDUL Rahman Said dan Zaleha Mohamad menaiki motosikal roda tiga untuk mendapatkan suntikan vaksin di PPV Sekolah Kebangsaan Tunjang, Jitra, Kubang Pasu semalam. -UTUSAN/ ZAID MOHD NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Pasangan suami isteri orang kelainan upaya (OKU) sanggup menaiki motosikal roda tiga untuk mendapatkan suntikan vaksin dos pertama di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Sekolah Kebangsaan (SK) Tunjang, Jitra di sini semalam.

Abdul Rahman Said, 46, yang cacat kedua-dua belah kaki dan isterinya, Zaleha Mohamad, 45, kudung kaki kanan dari Kampung Ketul di sini tidak mahu ketinggalan menerima vaksin tuntuk mengelakkan dijangkiti Covid-19.

Menurut Abdul Rahman, mereka menunggang dan membonceng motosikal roda tiga sejauh dua kilometer ke PPV selepas mendapat tarikh suntikan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya dan isteri berniaga nasi lemak di tepi jalan di kampung ini dan kami sebelum ini menanti-nantikan tarikh suntikan kerana bimbang dijangkiti Covid-19 disebabkan sentiasa berhadapan dengan pelanggan,” katanya di sini semalam.

Pasangan tersebut mempunyai tiga anak berusia tujuh hingga 15 tahun.

Menurutnya, dia dan isteri tidak menunggu lama menerima suntikan di PPV kerana disediakan kemudahan pandu lalu untuk OKU.

“Alhamdulillah perjalanan kami dengan motosikal roda tiga dari rumah hingga ke PPV serta menerima suntikan vaksin lancar,” ujarnya.

Abdul Rahman memberitahu, mereka akan menerima suntikan dos kedua di PPV sama pada 16 Oktober depan.

“Kami berharap dapat pulang ke kampung untuk bertemu dengan keluarga di Kelantan selepas menerima suntikan dos kedua nanti,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Masyarakat dan Kebajikan negeri, Halimaton Shaadiah Saad berkata, beliau kagum dengan semangat suami isteri OKU itu yang sanggup datang ke PPV untuk mendapat vaksin walaupun menaiki motosikal roda tiga.

“Saya berharap lebih ramai lagi golongan OKU di Kedah mendapatkan vaksin supaya dapat memutuskan rantaian Covid-19 yang masih menular sekarang,” karanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×