Menteri Agama nafi MAIWP hanya pentingkan vaksin untuk orang Islam - Utusan Malaysia

Menteri Agama nafi MAIWP hanya pentingkan vaksin untuk orang Islam

ZULKIFLI MOHAMAD Al-BAKRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri menafikan dakwaan sesetengah pihak kononnya Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) hanya mengutamakan orang Islam dalam pemberian vaksin.

Beliau berkata, pusat pemberian vaksin (PPV) bergerak yang dikendalikan oleh MAIWP sebenarnya terbuka kepada semua pihak termasuk bukan Islam.

Menerusi akaun Twittter miliknya, beliau turut memuat naik gambar yang menunjukkan bahawa ramai orang bukan Islam turut mengambil vaksin di PPV bergerak MAIWP.

“Jika dilihat dalam gambar, bukan Islam lebih ramai. Ini yang sebenarnya berlaku di sesetengah masa, biasanya sebelah petang sepanjang 4 Ogos hingga 12 September. Tidak ada bukan Muslim yang dinafikan hak untuk mendapat vaksinasi,” katanya.

Di samping itu, beliau berkata MAIWP selaku badan yang menguruskan kutipan, agihan zakat dalam kalangan Muslim di Wilayah Persekutuan sudah pasti akan mengembalikan manfaat kepada klien mereka yang merupakan Muslim.

“Fokus kami asalnya adalah 7,500 asnaf, orang kurang upaya (OKU), warga emas dan lain-lain.

“Sebelah pagi, MAIWP memfokuskan proses vaksinasi kepada Muslim yang telah mendaftar dengan MySejahtera melalui MAIWP. Manakala sebelah petang, ia dibuka juga untuk awam. Alhamdulillah, ramai bukan Muslim mendapat manfaat daripada usaha MAIWP.

“Saya amat hargai jika kita dapat mempromosikan inisiatif MAIWP. Ini terutamanya untuk asnaf, OKU, warga emas di sekitar kawasan-kawasan yang ditetapkan. Masih ada yang tidak mendaftar dengan MySejahtera, bahkan tidak tahu apa itu MySejahtera. Kadar vaksinasi perlu dipertingkatkan,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa ciapan MAIWP yang telah dipadam dilakukan hanya untuk menguar-uarkan kepada klien MAIWP iaitu pembayar dan penerima zakat mengenai khidmat vaksinasi yang disediakan.

“Memandangkan pada hari-hari tertentu, bilangan Muslim yang mendaftar untuk vaksinasi masih tidak mencapai sasaran,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN