MELAKA: Melaka menanggung lambakan udang harimau seberat 15,000 kilogram bernilai RM450,000 selepas permintaan makanan laut itu susut mendadak.
Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) negeri, Rosli Mustapa berkata, kesemua udang bersaiz L itu hasil ternakan yang sepatutnya dipasarkan ke Singapura dan Johor, selain permintaan peniaga tempatan termasuk di medan ikan bakar.
Bagaimanapun, menurut beliau, sehingga kini semua udang harimau itu ‘terkandas’ di kolam ternakan di Sebatu, Jasin selepas kedai makan belum beroperasi seperti biasa selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak tahun lalu.
“Permintaan udang harimau menurun sejak PKP tahun lalu dan kini hasil ternakan tidak dapat dieksport ke Singapura disebabkan negeri ini masih dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
“Sehingga kini kita masih mempunyai 16,000 kilogram udang harimau di dalam kolam yang sedia untuk dipasarkan,” kata beliau pada program Bantuan Mafi Prihatin dan Kempen Kibar Jalur Gemilang sempena Hari Kebangsaan 2021 dan sambutan Jubli Emas 50 tahun LKIM di Kompleks Perikanan LKIM di Sungai Duyong di sini, hari ini.
Pada program itu sebanyak 30 kit makanan mengandungi pelbagai makanan asas diserahkan kepada nelayan yang terjejas disebabkan pandemik.
Kata Rosli, susulan lambakan itu juga, harga udang harimau turun sekitar RM26 sekilogram berbanding sebelum ini antara RM30 hingga RM35 sekilogram.
“Kami sedang berusaha memasarkan udang harimau ini melalui ejen-ejen dilantik, namun kuantiti yang diambil tidaklah begitu banyak.
“Dalam tempoh seminggu, hanya 200 kilogram udang harimau terjual, selain usaha menghantar bekalan ini ke Kuala Lumpur dan Selangor,” jelasnya.
Dalam pada itu, Rosli berkata, harga bekalan ikan premium yang diraih para nelayan termasuk jenahak, kerapu, ikan merah dan siakap turut mengalami penurunan ketara sebanyak 20 peratus.
“Dahulu semua hasil laut ini ditempah awal dan diedar terus ke pengusaha ikan bakar, namun sejak medan tutup, bekalan ikan ini meningkat dan harga pula semakin turun,” jelasnya.- UTUSAN