Mayat penyelam hilang enam hari ditemukan - Utusan Malaysia

Mayat penyelam hilang enam hari ditemukan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kehilangan seorang penyelam tempatan yang lemas sejak enam hari lalu terungkai selepas mayatnya ditemukan kira-kira 8.7 batu nautika barat daya Sungai Besar, Sabak Bernam, semalam.

Mayat, Calvin Patrick Lazaroo, 27, ditemui nelayan yang kemudian memaklumkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), kira-kira pukul 3 petang.

Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim Mohd. Rosli Kassim berkata,  pasukan operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) APPM dan bot Pasukan Polis Marin bergegas ke lokasi kejadian untuk tindakan lanjut.

Menurut beliau, pihaknya berjaya mengesan mangsa dalam keadaan terapung pada pukul 6 petang.

“Lelaki itu ditemui lengkap berpakaian penyelam berserta balang oksigen sebelum dibawa ke Jeti Nelayan Sungai Besar.

“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sabak Bernam untuk proses pengecaman,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam kejadian pukul 10.30 pagi 3 Ogos itu, Calvin Patrick dipercayai menyelam bersama tiga rakannya untuk menarik bot sebuah syarikat yang karam pada 22 Julai lalu.

Mangsa yang melakukan selaman bagi mengikat tali pada bot itu bagaimanapun hilang selepas tidak timbul ke permukaan air selepas empat jam pencarian dilakukan.

Operasi CARILAMAT yang dikoordinasikan Sub-Pusat Menyelamat Maritim (MRSC) Johor Bahru kemudian dilaksanakan dengan bantuan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan nelayan tempatan.

Kehilangan Calvin Patrick disedari rakannya yang bertindak melakukan pencarian di sekitar kawasan tersebut.

Namun, pencarian  empat jam gagal menyebabkan mereka menghubungi MRSC Johor Bahru untuk tindakan lanjut.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN