Maritim Malaysia rampas dua tan ketum - Utusan Malaysia

Maritim Malaysia rampas dua tan ketum

MOHD. Zawawi Abdullah (tiga dari kiri) menunjukkan sebahagian daripada daun ketum yang dirampas oleh Maritim Malaysia di Kuala Kedah, Alor Setar hari ini. - UTUSAN/SHAHIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah menggagalkan cubaan menyeludup dua tan daun ketum di kedudukan 0.2 batu nautika dari muara Kuala Sanglang di sini Jumaat lalu.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd. Zawawi Abdullah berkata, hasil maklumat dan intipan  menemukan dua bot fiber dalam suasana gelap dan mencurigakan pada pukul 1.50 pagi.

Menurut beliau, kedua-dua suspek yang disyaki nelayan itu bertindak menukar haluan dan memecut laju ke arah lain iaitu menuju ke daratan dengan meninggalkan bot serta melarikan diri ke kawasan paya bakau berhampiran.

“Pemeriksaan ke atas dua bot  menemukan 190 bungkusan plastik berwarna hitam yang disyaki daun ketum dengan dianggarkan setiap bot fiber seberat satu tan metrik kedua-duanya bernilai RM360,000.

“Hasil rampasan, dua bot fiber dan enjin dianggarkan bernilai RM390,000 turut dirampas dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk tindakan lanjut,” katanya dalam sidang akhbar di Kuala Kedah hari ini.

Mohd. Zawawi berkata, rampasan daun ketum itu adalah yang terbesar bagi Maritim Malaysia pada tahun ini dan rampasan kedua melibatkan daun ketum bulan ini.

“Aktiviti penyeludupan semakin rancak melalui jalan laut kerana pintu sempadan masih ditutup serta harga pasaran yang tinggi di Thailand.

“Harga pasaran di sana kini mencecah RM180 sekilogram berbanding hanya sekitar RM70 sekilogram di pasaran tempatan,” ujarnya.

Tambahnya, pihak yang menjalankan perkhidmatan membawa daun ketum tersebut dibayar upah sekitar RM350 hingga RM800 bagi setiap hantaran berdasarkan berat timbangan.

“Walaupun banyak tangkapan dan rampasan sebelum ini, namun aktiviti penyeludupan itu masih aktif kerana mereka yang terlibat memperoleh pendapatan lumayan mencecah ribuan ringgit,” ujarnya.

Beliau memberitahu, kes itu disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan tersebut.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN