PUTRAJAYA: Strategi dan dasar kesihatan awam di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) menunjukkan kesan positif dan manfaatnya bakal dinikmati negeri-negeri lain di seluruh negara dalam waktu terdekat ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jumlah kadar vaksinasi lengkap terkini sudah meliputi 13,315,774 juta individu iaitu 56.9 peratus dalam kalangan populasi dewasa.
Kata beliau, kadar vaksinasi satu dos pula ialah 18,476,589 individu atau meliputi 78.9 peratus daripada kalangan populasi dewasa.
Menurut beliau, statistik mengikut negeri yang lengkap dua dos pula ialah Sarawak 1,744,895 individu (85.4 peratus), Lembah Klang 5,250,427 (85.2 peratus), Negeri Sembilan 588,880 (72.3 peratus), Perlis 113,124 (62.4 peratus), Pulau Pinang 643,909 (47.1 peratus), Melaka 316,899 (46.8 peratus) dan Terengganu 346,163 (42.8 peratus).
“Di Pahang pula, kadar vaksinasi pula berjumlah 502,644 (42.7 peratus), Perak 771,988 (41.4 peratus), Johor 1,052,497 (38.8 peratus), Kedah 589,604 (38.3 peratus), Kelantan 465,245 (37.6 peratus) dan Sabah 866,228 (31.4 peratus),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ismail Sabri walau bagaimanapun mengingatkan seluruh rakyat untuk terus mematuhi SOP dan amalkan kawalan kendiri demi menjaga keselamatan diri dan keluarga.
Beliau menegaskan, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama agensi-agensi penguatkuasaan yang lain juga akan mempertingkatkan kawalan dari segi sekatan jalan raya (SJR) bagi mengawal pergerakan rentas negeri sekali gus mengekang penularan jangkitan Covid-19 di seluruh negara.
habis










