Kurangkan kecelaruan polisi - Utusan Malaysia

Kurangkan kecelaruan polisi

Polisi SOP yang sentiasa berubah-ubah menjadi antara penyebab utama semua sektor ekonomi menghadapi kekeliruan untuk beroperasi. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Buka semua sektor ekonomi jika tak mampu bantu

PETALING JAYA: Kerajaan perlu turun padang dan mengadakan lebih banyak perbincangan dengan syarikat-syarikat besar bagi mendapat gambaran lebih jelas dalam mengatur prosedur operasi standard (SOP), sekali gus mengurangkan kecelaruan polisi kerajaan dalam membendung penularan wabak Covid-19.

Hal ini amat penting bagi mengekalkan pelabur asing kerana terbukti, kecelaruan tersebut mengakibatkan banyak syarikat besar mula memikirkan untuk ‘berpindah’ dari negara ini.

Timbalan Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Norsyahrin Hamidon berkata, situasi tersebut amat tidak bagus untuk ekonomi negara malah bakal menyebabkan lebih ramai warga tempatan hilang pekerjaan sekali gus meningkatkan kadar pengangguran negara.

“Justeru, kerajaan perlu mengadakan perbincangan dengan syarikat-syarikat ini untuk memahami kesukaran dan kehendak mereka dalam meneruskan aktiviti di Malaysia, terutamanya sektor ekonomi yang termasuk di dalam rantaian perniagaan mereka.

“Polisi SOP yang sentiasa berubah-ubah sememangnya menjadi antara penyebab utama semua sektor ekonomi menghadapi kekeliruan terutama SOP pihak berkuasa dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang kadang kala tidak selari.

“Rakyat juga mahu ahli politik berhenti bercakaran dan memberikan fokus kepada nasib rakyat dan kes Covid-19 yang tinggi ketika ini kerana ia hanya akan memburukkan lagi keadaan,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Terdahulu, kajian CGS-CIMB memaklumkan, pelabur asing terus menjadi penjual bersih ekuiti Malaysia dengan jualan bersih terkumpul sebanyak RM4.2 bilion pada separuh pertama 2021.

Purata bulanan aliran keluar dana asing bersih pada separuh pertama 2021 adalah sebanyak RM700 juta.

Aliran keluar dana bersih oleh pelabur asing dari Malaysia meningkat kepada kadar bulanan tertinggi pada Jun kepada RM1.17 bilion disebabkan kebimbangan terhadap potensi impak lanjutan sekatan pergerakan terhadap perniagaan, ketidaktentuan politik dan ringgit yang lemah.

Norsyahrin berpendapat, kerajaan juga perlu mempertimbangkan pembukaan semua sektor ekonomi sekiranya tidak mampu untuk memberikan bantuan kewangan yang berpatutan dan mencukupi kepada semua peniaga.

Jelasnya, rakyat semakin terhimpit disebabkan tiada sumber pendapatan dan kekurangan aliran tunai untuk meneruskan kehidupan.

“Daripada keadaan ini, dikhuatiri kematian akibat tidak mampu membeli makanan akan lebih ramai berbanding kematian akibat wabak kerana statistik pengangguran juga menunjukkan hampir 800,000 rakyat terpaksa menganggur kerana penutupan sektor ekonomi negara.

“Semua pihak patut menerima hakikat bahawa kita terpaksa hidup dengan virus Covid-19 dalam tempoh masa yang lama,” tambahnya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, kerajaan perlu menangani ketidaktentuan pelaksanaan SOP dan polisi dalam memerangi pandemik Covid-19 itu dengan segera.

Ujarnya, apabila terdapat sentimen tidak puas hati dan kekecewaan dalam kalangan rakyat dan peniaga, sudah tentu ia akan memberi gambaran negatif kepada pelabur di dalam dan luar negara.

“Sebagai contoh, pelabur asing sudah lama meninggalkan Bursa Malaysia dan kini, jumlah pelaburan langsung asing (FDI) belum mencapai peningkatan yang diharapkan.

“Oleh itu, kegusaran bahawa pelabur asing yang sedang melabur di Malaysia akan berubah pikiran untuk keluar dari negara ini boleh menjadi realiti sekiranya ketidaktentuan tersebut tidak ditangani dengan serius dan segera,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN