GEORGETOWN: Penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) di hospital-hospital di Pulau Pinang bagi merawat pesakit Covid-19 hampir mencecah 100 peratus ekoran peningkatan kes positif wabak berkenaan.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kes Covid-19 yang dijangka terus bertambah pada minggu berikutnya menyebabkan penggunaan kemudahan di ICU kini menerima tekanan.
Menurut beliau, kerajaan negeri memohon tindakan segera diambil Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) untuk menyusun serta mengubah suai ruang sedia ada untuk dijadikan ruang rawatan pesakit Covid-19.
“Jika dulu kita berdepan dengan kes positif sekitar 100 hingga 200 kes sehari, sekarang mencecah 600 hingga 800 kes dan meningkatkan tekanan pada penggunaan kemudahan sedia ada di ICU.
“Disebabkan itu, hospital-hospital di negeri ini memerlukan penambahan serta perlu diubah suai ruang sedia ada untuk dijadikan ruang rawatan Covid-19 dan kita sedia bekerjasama membantu KKM sekiranya diperlukan,” kata beliau selepas program Penang Saring Covid-19, di Komtar di sini hari ini.
Semalam kes positif Covid-19 di Pulau Pinang sebanyak 867 kes iaitu yang tertinggi pernah dicatatkan di negeri ini.
Menurut Kon Yeow, sehingga kini terdapat lebih 40 kluster aktif Covid-19 dicatatkan di negeri ini selain kluster di tempat kerja, turut dikesan berlaku peningkatan kes-kes sporadik di dalam komuniti.
“Sebelum ini JKN dapat mengesan satu kes disebabkan varian Delta, mungkin JKN dan KKM memerlukan lebih masa untuk memastikan varian-varian yang ada di Pulau Pinang.
“Kita berharap penemuan varian di negeri ini akan segera diperoleh agar tindakan yang sewajarnya dapat diambil untuk membendung penularan wabak,” katanya.
Dalam pada itu, Kon Yeow berharap Kerajaan Pusat dapat menyelesaikan isu melibatkan pengagihan bekalan vaksin ke negeri-negeri dengan segera agar program imunisasi yang sedang berjalan tidak terbantut.
“Pada bulan lalu, kita terima bekalan vaksin yang baik dan membolehkan kita memberi suntikan sebanyak 700,000 dos kepada rakyat.
“Tetapi pada Ogos ini, kita dapat maklumat daripada Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 yang mana mereka telah meminta masa untuk meneliti bekalan vaksin kepada negeri ini,” katanya.- UTUSAN