PETALING JAYA: Malaysia dijangka mencapai imuniti kelompok lebih awal berbanding sasarannya pada Oktober nanti seperti mana ramalan pakar-pakar kesihatan.
Indikator itu dilihat berdasarkan jumlah pesakit Covid-19 bagi kategori empat dan lima di kebanyakan hospital awam menurun sehingga 50 peratus baru-baru ini.
Bagaimanapun, bagi mencapai sasaran itu, Program Imunisasi Covid Kebangsaan (PICK) perlu diperhebatkan lagi dan sehingga 15 Ogos lalu, sebanyak 32.9 peratus atau 10,734,415 populasi negara ini telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM), Datuk Dr. Kuljit Singh berkata, imuniti kelompok negara dapat dicapai lebih awal jika program vaksinasi diperhebatkan lagi, selain kerjasama semua pihak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
“Jika kita lihat PICK adalah satu jalan yang terbaik, malah vaksinasi perlu dilaksanakan dengan lebih cepat bagi menjamin imuniti kelompok bukan sesuatu yang mustahil untuk dicapai.
“Imuniti kelompok bergantung kepada peratus populasi yang sudah divaksinasi. Lagi cepat kita capai liputan tertinggi, lagi pantas kita capai imuniti. Jadi, ia bergantung kepada jumlah vaksin yang ada serta proses pengedaran,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Terdahulu, Jumlah kemasukan harian pesakit Covid-19 untuk menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang berkurangan lebih 50 peratus sejak seminggu lalu.
Ini menjadikan jumlah pesakit Covid-19 yang kini menerima rawatan di hospital tersebut berkurangan daripada lebih 1,000 pesakit dengan kemuncaknya pada Julai lepas.

Tambah Kuljit, negara kini berada di landasan yang tepat untuk menangani ancaman pandemik ini dengan harapan selepas Oktober nanti, Covid-19 akan ‘dilayan’ sebagai pandemik sahaja, sama seperti selesema biasa.
“Namun, kita perlu sedar bahawa masih banyak halangan yang perlu ditangani termasuk keengganan sesetengah orang untuk mengambil vaksin serta kemungkinan mutasi Covid-19 membuatkan vaksinasi sebagai sia-sia.
“Di sebalik beberapa masalah di peringkat awal, Malaysia kini berada di landasan yang betul untuk mengatasi tarikh akhir Februari 2022,” katanya.
Sementara itu, menurut Pakar Virologi UM, Prof. Dr. Sazaly Abu Bakar berkata, jangkitan Covid-19 tidak ada imuniti kelompok kerana ini tidak sama seperti jangkitan lain, malah, mereka yang sudah lengkap divaksin pun masih boleh dijangkiti.
“Tidak dinafikan PICK adalah langkah yang tepat, namun, itu tidak menjaminkan peratusan sepenuhnya kerana sehingga sekarang hanya 30 peratus sahaja yang sudah lengkap menerima dos vaksin dan negara masih perlu mencapai sekurang-kurangnya 80 peratus herd-immunity.
“Kita perlu melihat sekurang-kurangnya sehingga hujung Ogos ini bagi meletakkan sesuatu jangkaan,” katanya.
Tegasnya, peningkatan jumlah kes harian kebarangkalian terjadi sekali lagi ekoran daripada pembukaan semula sektor ekonomi dan sosial.
“Kita sudah pernah lalui hal ini sebelumnya, jangan biarkan pisang berbuah dua kali,” tegasnya. – UTUSAN ONLINE