PASIR GUDANG: Jiwa merdeka yang meluap-luap membakar semangat sebuah keluarga untuk menghias rumah dengan ratusan Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-64 di Jalan Serindit 5, Taman Scientex, di sini.
Biarpun keadaan tidak seperti sebelum Covid-19, bagi suri rumah, Juriah Abdullah, 49, tahun ini adalah tahun kelima buat keluarganya menterjemah rasa cinta kepada negara dengan menghias kediaman mereka.
Katanya, sebanyak 500 bendera beraneka saiz digunakan bagi menghias rumah dua tingkat itu berbanding 400 yang digunakan pada tahun lalu.
Jelasnya, cabaran yang dilalui keluarganya pada tahun ini adalah untuk mendapatkan bekalan bendera dalam jumlah yang banyak ekoran kebanyakan kedai sudah kehabisan stok Jalur Gemilang.
“Bagi memenuhi hasrat itu, kami ke beberapa kedai bagi mendapatkan bendera dalam jumlah yang banyak sebelum memulakan aktiviti menghias rumah.
“Selesai satu halangan, muncul rintangan lain pula. Ketika pasang bendera, cuaca redup berubah dengan gerimis dan diikuti hujan lebat. Usaha menghias rumah itu tetap diteruskan biarpun keadaan cuaca tidak mengizinkan.
“Dengan bantuan suami dan anak, kami selesai hias rumah dengan Jalur Gemilang dalam masa lima hari,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini semalam.
Juriah berasa bangga setelah rumahnya menjadi tumpuan ramai untuk merakam gambar kenangan selain menjadi pembakar semangat jiran tetangga untuk turut mengibar Jalur Gemilang.
“Ada jiran yang menyatakan bersemangat mengibar bendera selepas melihat kesungguhan kami dan saya berpendapat mengibar bendera pada tahun ini membawa makna yang tidak ternilai.
“Ia melambangkan kesetiaan kita kepada negara yang ketika ini hebat diuji dengan pandemik Covid-19 yang memerlukan kebersamaan rakyat sejagat memeranginya,” katanya.
Dalam pada itu, Ahli Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), Haryati Ismail berkata, pihaknya juga menyahut solidariti memerangi Covid-19 menerusi penganjuran beberapa program bertemakan semarak merdeka.
“Ia termasuk menganjurkan pertandingan rumah, premis yang mengibar bendera, serahan bendera ke rumah ibadat dan pertandingan mewarna kanak-kanak secara maya,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE